i-Suri diperluas kepada Orang Asli, peribumi Sabah dan Sarawak

Wan Azizah Wan Ismail berkata sehingga 30 April, jumlah mereka yang mendaftar dengan i-Suri melebihi sasaran iaitu sebanyak 107,619 orang.

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail berkata kumpulan sasar yang layak memohon i-Suri akan diperluas kepada masyarakat Orang Asli dan Orang Asal Sabah dan Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata pihaknya akan memanjangkan penyelarasan daftar pemohon program berkenaan dengan agensi bertanggungjawab termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk mendapatkan senarai mereka yang layak.

“Kita ambil maklum pihak Orang Asli dan mungkin Orang Asal Sabah dan Sarawak memerlukan jaringan ini, kalau boleh kita sama-sama selaraskan dengan data, data itu kita mesti adakan pemutihan juga kerana ada pertindihan banyak.

“Ideanya baik, tetapi sebab (dana) terhad kita kena fikir mana keperluannya,” katanya pada persidangan Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Isa Ab Hamid yang ingin tahu sama ada daftar pemohon i-Suri akan diperluas kepada masyarakat Orang Asli yang tidak termasuk dalam senarai e-Kasih yang digunakan kerajaan bagi menentukan pemohon yang layak bagi program itu.

Sementara itu, menjawab soalan asal Asmak Husin mengenai pencapaian program berkenaan, Wan Azizah menarik perhatian anggota Dewan Negara bahawa sasaran pendaftaran 100,000 suri rumah dan wanita di bawah program yang dilancarkan pada Ogos tahun lepas, kini tercapai.

Malah, beliau berkata sehingga 30 April, jumlah mereka yang mendaftar melebihi sasaran iaitu sebanyak 107,619 orang.

Terdapat 3 fasa pelaksanaan program berkenaan iaitu caruman secara sukarela dengan insentif kerajaan melalui sumbangan ke akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Fasa ke-2 ialah caruman secara sukarela dengan insentif kerajaan melalui sumbangan ke akaun KWSP dan perluasan perlindungan sosial kepada suri rumah di bawah kendalian Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Fasa ke-3 pula caruman wajib suami melalui potongan 2% caruman KWSP kepada isteri atau suri rumah,” katanya.

Tambah beliau, bagi fasa ke-3, draf pindaan Akta KWSP 1991 disediakan dan dijangka dibentang di Parlimen, Julai ini dan pelaksanaannya dijangka bermula pada suku ke-3 tahun depan.