Kehidupan kembar Siam 21 tahun selepas dipisahkan

Ingatkah anda kisah sepasangan kembar Siam yang bercantum di dada dan hanya berkongsi sepasang kaki?

Kisah kesengsaraan mereka yang muncul pada 1998 menimbulkan simpati masyarakat dan menjadi berita dunia apabila pembedahan untuk memisahkan mereka ditaja oleh Putera Mahkota Arab Saudi ketika itu.

Sudah lebih 20 tahun kisah itu berlalu, namun nama mereka – Ahmad Rosli dan saudaranya Muhamad Rosli masih segar dalam ingatan ramai daripada kita.

Kembar bercantum atau lebih dikenali sebagai kembar Siam merupakan kes luar biasa yang hanya berlaku pada nisbah 1:200,000.

Ia terjadi apabila zigot bayi kembar (seiras) gagal untuk terpisah secara sempurna.

Sesiapa pun yang mengikuti kisah dua saudara yang sentiasa bersama ini tidak dapat menahan sebak melihat teletah dan pergerakan mereka.

Namun kesengsaraan hebat itu selama setahun itu berakhir juga apabila pada tahun 2002, Putera Abdullah Abdul Aziz tampil menawarkan bantuan.

Dengan kos rawatan yang mencecah hampir RM1.7 juta, pemisahan kembar Siam tersebut akhirnya berjaya dilakukan di Hospital King Fahd National Guard di Riyadh, Arab Saudi.

Itulah peristiwa bersejarah yang berlaku 21 tahun lalu.

Hari ini, Ahmad dan Muhamad sudah berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.

Ahmad mengambil jurusan diploma Reka Bentuk Grafik, manakala Muhamad sedang melanjutkan peringkat ijazah dalam bidang Teknologi Maklumat.

Sepanjang menuntut ilmu, segalanya seolah-olah menjadi mudah bagi kedua saudara ini.

Mereka seperti semua anak muda yang sempurna, kecuali masing-masing mempunyai satu kaki sahaja. Ahmad tidak ada kaki kiri, Muhamad tidak ada kaki kanan.

Tetapi pergerakan mereka menjadi mudah kerana pihak universiti menyediakan kemudahan untuk mereka seperti yang diberikan kepada golongan kelainan upaya lain.

Malah lebih memudahkan pergerakan mereka adalah apabila jarak antara kelas (dewan kuliah) keduanya juga tidak jauh.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]