Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar AS

Peniaga berkata, pakar ekonomi menjangkakan BNM akan mengurangkan kadar faedah susulan kelembapan ekonomi.

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat hari ini berikutan kekurangan petunjuk baru, dengan kebanyakan peniaga tidak memasuki pasaran susulan perkembangan luaran yang bercampur-campur.

Pada 9 pagi, ringgit kekal berada pada 4.1460/1490 berbanding dolar AS seperti direkodkan semasa pasaran ditutup semalam.

Peniaga berkata, pelabur kini menunggu pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengenai kadar dasar semalaman (OPR).

“Pakar ekonomi menjangkakan BNM mengurangkan kadar faedah susulan kelembapan ekonomi,” katanya.

Semasa mesyuarat pada 5 Mac, Jawatankuasa Dasar Monetari BNM memutuskan OPR dikekalkan pada 3.25%.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0409/0436 daripada 3.0412/0440 ketika ditutup semalam.

Ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 3.7439/7476 daripada 3.7429/7466 selain rendah berbanding euro kepada 4.6435/6473 daripada 4.6406/6444 dan lemah berbanding pound Britain kepada 5.4333/4389 daripada 5.4317/4373.