RM236 juta daripada firma Hollywood Riza Aziz telah dipulangkan, kata peguam negara

Riza Aziz. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kerajaan telah menerima kira-kira AS$57 juta (RM236 juta) daripada Red Granite Pictures – syarikat penerbitan yang dikaitkan dengan anak tiri Najib Razak, Riza Aziz – yang didakwa menggunakan wang yang digelapkan daripada 1MDB.

Peguam Negara Tommy Thomas berkata, wang tersebut diperolehi Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat berikutkan satu penyelesaian bernilai AS$60 juta yang direkodkan di sebuah mahkamah AS.

Beliau berkata, RM3 juta daripada jumlah itu digunakan untk membayar DoJ dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) sebagai kos penyiasatan dan mendapatkan penyelesaian kes.

Tommy berkata, wang itu adalah sebahagian daripada keseluruhan AS$322 juta (RM1.3 bilion) yang diperolehi daripada jualan aset yang dikaitkan dengan wang 1MDB yang dicuri, termasuk kira-kira RM500 juta daripada jualan kapal layar mewah yang dikaitkan dengan ahli perniagaan yang diburu, Low Taek Jho.

Beliau berkata satu tabung amanah khas telah dibuka bagi menyimpan wang daripada perolehan semula aset itu.

“Perolehan semula itu tidak mungkin dicapai tanpa bantuan dan kerjasama terbaik yang kita nikmati daripada rakan sejawat di AS dan Singapura. Kita mengucapkan terima kasih kepada mereka, kata Tommy.

Red Granite milik Riza didakwa menggunakan lebih AS$100 juta wang yang dicuri daripada 1MDB. Penyelesaian bernilai RM60 juta dicapai dengan syarikat itu pada September tahun lepas.

Jumlah itu merupakan sebahagian daripada saman sivil pelucutanhak yang difailkan oleh DoJ dari 2016 ke 2019 bagi mendapatkan semula wang berjumlah AS$1.7 bilion yang didakwa dicuri daripada 1MDB.

Penyiasat AS juga percaya wang berjumlah AS$4.5 bilion dipindahkan secara salah daripada 1MDB, dalam satu kes yang dianggap paling besar oleh Inisiatif Perolehan Semula Aset Kleptokrasi DoJ.

Agensi itu sebelum ini berkata, 3 filem yang diterbitkan oleh Red Granite, iaitu “The Wolf of Wall Street”, “Daddy’ Home” dan “Dumb and Dumber 2”, dibiayai dengan wang yang digelapkan daripada 1MDB.

Penyelesaian yang dicapai dengan Riza antara lain menyebut bahawa beliau tidak akan mengambil apa-apa gaji daripada syarikatnya semasa tempoh pembayaran, selain menetapkan bahawa ia bukanlah satu pengakuan salah laku di pihak Red Granite.

Tommy berkata, Malaysia masih menunggu wang berjumlah AS$139 juta daripada jualan Park Lane Hotel di New York yang turut dikaitkan dengan Jho Low.

Peguam negara berkata, Malaysia juga menanti pemulangan S$35 juta dari Singapura berikutan arahan pelupusan yang dibuat oleh mahkamah negara tu berhubung wang yang digelapkan daripada 1MDB.

Beliau berkata, S$15 juta telah dimasukkan ke dalam akaun perolehan khas antara September tahun lepas dan Mac tahun ini.