SIS: PAS melampau batas berkaitan amaran ‘nasib seperti orang Uighur’

SIS menggesa PAS menghentikan agenda yang dengan sengaja menyemai rasa takut dan mengapi-apikan kebencian kaum dan agama dalam kalangan rakyat.

PETALING JAYA: Sisters in Islam hari ini menuduh PAS melampaui batas berikutan amaran parti itu tentang nasib seperti minoriti Uighur di China menanti orang Melayu sekiranya orang bukan Islam dibenarkan mentadbir negara.

“Dakwaan itu tidak berasas sama sekali, malah bercanggah dengan ajaran Islam mengenai kehidupan bersama yang aman dan harmoni dengan budaya dan agama lain,” kata SIS yang memberi respons terhadap satu artikel bertajuk “PAS warns of Uighur like fate if infidels run Malaysia” di sebuah portal berita.

Artikel tersebut memetik ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Mokhtar Senik, yang menyebut di laman Facebook bahawa orang Islam di China dilarang berpuasa dan mengamalkan agama mereka.

“Moga saudara saya di Malaysia mengambil iktibar.

“Begitulah nasib kita jika negara ini diserahkan kuasa politik kepada orang kafir. Tak kira apa jenis kafir mereka itu,” katanya.

SIS berkata, sikap paranoid dan delusi PAS berpunca daripada rasa tidak selamat politik dan cuba mencetuskan ketegangan kaum serta rasa saling tidak percaya dalam kalangan rakyat Malaysia yang memilih untuk hidup dalam negara yang majmuk, inkluisf dan progresif.

“Ini jelas daripada tafsiran berat sebelah dan keliru PAS mengenai ICERD, Statut Rom dan dakwaan bahawa kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim adalah petanda terhakisnya hak orang Melayu di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

“Penegasan tidak berasas PAS bahawa perlembagaan persekutuan terancam dan orang bukan Islam mahu menghapuskan Islam di Malaysia adalah bukti percubaan mereka menggunakan agama untuk matlamat politik.

“Melaga-lagakan sesama rakyat Malaysia bukan sahaja merosakkan warisan kaum dan budaya kita yang kaya, tetapi juga menghalang kemajuan ekonomi yang seharusnya menjadi keutamaan semua ahli politik berikutan keadaan kewangan yang kita warisi daripada kerajaan sebelum ini.

SIS menggesa PAS menghentikan agenda yang dengan sengaja menyemai rasa takut dan mengapi-apikan kebencian kaum dan agama dalam kalangan rakyat.

“Islam adalah agama keamanan dan kasih sayang yang menghormati semua budaya, dan tidak membenarkan rasa syak wasangka serta diskriminasi semata-mata atas asas kaum,” katanya.