Tiada tanah, slot rancangan diberi pada Zakir Naik, kata Putrajaya

Zakir Naik mengelak daripada pihak berkuasa India berhubung dakwaan pengubahan wang. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Putrajaya menafikan laporan dari India mendakwa kerajaan Malaysia memberikan sebuah plot tanah pada penceramah kontroversi, Zakir Naik untuk memulakan semula saluran satelit yang diharamkan, Peace TV.

Pejabat Perdana Menteri juga menolak dakwaan mengatakan Naik, yang baru-baru ini secara rasmi dituduh memperoleh aset jenayah bernilai jutaan ringgit, akan diberi slot rancangan di saluran siaran rasmi kerajaan.

“Kami ingin menjelaskan bahawa dakwaan itu tidak berasas,” katanya.

Media India, Republic TV mendakwa Malaysia membuat keputusan untuk memberi “ganjaran” kepada Naik untuk mengendalikan operasi Peace TV itu.

Minggu lepas, Direktorat Penguatkuasaan India (ED) mendakwa Naik di mahkamah tanpa kehadiran atas tuduhan pengubahan wang.

Agensi itu berkata Naik pernah membuat “ucapan-ucapan dan kuliah-kuliah yang mengapi-apikan” yang menghasut sejumlah belia beragama Islam di India melakukan tindakan pengganas.

Naik menafikan sekeras-kerasnya tuduhan terhadap beliau, dan mengelak daripada pihak berkuasa India yang mahu dia dihantar pulang dari Malaysia, di mana dia diberi status pemastautin tetap.