Bekas menteri persoal keputusan benarkan cermin lebih gelap

Seorang pekerja mengenakan pelekat gelap pada cermin kereta di sebuah bengkel di Kuala Lumpur. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bekas menteri pengangkutan, Liow Tiong Lai hari ini mempersoalkan keputusan menteri membenarkan pemandu menggunakan cermin sisi dan bahagian lebih gelap, dan tertanya sudahkah kerajaan menghimpunkan pandangan daripada pihak berkuasa dan pemegang taruh yang berkenaan sebelum membuat keputusan.

“Saya baru terdengar pengumuman itu. Bagi saya, keselamatan harus jadi keutamaan dalam proses membuat keputusan mengenai dasar awam,” katanya.

Kementerian Pengangkutan juga berkata cermin depan dan sisi bahagian pemandu dan penumpang hadapan mesti membenarkan 70% dan 50% cahaya masuk.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum ini membenarkan kegelapan 70% untuk cermin belakang dan sisi bahagian belakang, 50% untuk cermin sisi bahagian pemandu dam penumpang hadapan, dan 30% untuk cermin depan.

Liow berkata semasa dia bersama Kementerian Pengangkutan, terdapat satu jawatankuasa untuk mengkaji isu cermin gelap.

“Ada satu jawatankuasa besar yang terdiri daripada para pegawai kementerian, polis, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) dan pemegang taruh lain. Kami menganjurkan bengkel untuk pemegang taruh seperti pengendali kedai aksesori untuk memaklumkan mereka tentang apa yang kami mahu laksanakan.

“Begitulah bagaimana jawatankuasa itu mendapatkan angka 30%, 50% dan 70% untuk cermin depan, bahagian pemandu, bahagian penumpang dan belakang,” katanya.

Liow berkata keputusan kerajaan mengutip RM5,000 daripada pemilik kenderaan yang mahu menggunakan cermin gelap sepenuhnya seolah-olah ia memikirkan tentang hasil.

“Ada peraturan kecil yang membolehkan JPJ menggunakan budi bicara membenarkan pemandu menggunakan cermin gelap sepenuhnya atas sebab-sebab kesihatan dan untuk individu-individu berprofil tinggi. Ia bukan seperti sekarang di mana sesiapa sahaja boleh mohon selagi boleh bayar,” katanya.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata individu perlu membayar RM5,000 jika permohonan untuk menggunakan cermin gelap sepenuhnya atas sebab-sebab keselamatan dibenarkan.

Loke berkata satu jawatankuasa bawah JPJ akan memproses permohonan menggunakan cermin gelap sepenuhnya.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Azisman Alias berkata cermin gelap menyukarkan polis menguatkuasakan undang-undang trafik.

Beliau berkata anggotanya sukar mengecam penumpang menerusi cermin yang sangat gelap jika perlu memeriksa sebuah kenderaan.

Azisman juga berkata polis tidak dipanggil berbincang sebelum keputusan dibuat untuk membenarkan cermin lebih gelap.