Bintang Baywatch tidak setuju dengan hukuman terhadap Assange

(Gambar Ruptly)

Bekas pelakon Baywatch, Pamela Anderson menyifatkan hukuman yang dikenakan terhadap pengasas WikiLeaks, Julian Assange tidak adil dan kejam.

Pamela yang beberapa melawat Assange semasa dia hidup sebagai pelarian di Kedutaan Ecuador di London memberi amaran nyawa wartawan itu perlu diselamatkan.

“Sangat payah nak bertemu Julian di sini dan kami agak terkejut dengan kesukaran untuk bertemunya di penjara,” kata Pamela selepas mengunjungi Assange di Penjara Belmarsh, London sejak dia ditahan dan dikeluarkan dari Kedutaan Ecuador pada April.

“Dia seorang lelaki yang baik, seorang yang hebat. Saya sayang dia. Saya tak dapat bayangkan apa yang sedang dia lalui,” kata bekas model Playboy itu, sambil memakai mantel dengan slogan mempertahankan kebebasan bersuara.

“Kita perlu selamatkan nyawanya. Begitulah seriusnya keadaan sekarang ini. Kita harus terus melawan kerana ini tidak adil. Dia berkorban untuk dedahkan kebenaran.”

Terdahulu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 50 minggu ke atas Assange kerana melanggar syarat ikat jamin 7 tahun lalu.

Lelaki berusia 47 tahun itu melanggar ikat jamin itu selepas memasuki Kedutaan Ecuador hampir 7 tahun lalu.

Polis British menahan Assange selepas Ecuador menarik balik suakanya.

Dia cuba mendapatkan perlindungan di situ bagi mengelakkan ekstradisi ke Sweden di mana dia dituduh atas tuduhan rogol dan serangan seksual.

Beliau juga sedang mencabar permohonan ekstradisi daripada Amerika Syarikat di mana dia dikehendaki atas dakwaan penggodaman.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]