
Pegawai penyiasat BNM Ahmad Farhan Sharifuddin berkata, BNM juga tidak memberitahu perkara itu kepada bekas perdana menteri kerana tidak mahu mendedahkan maklumat tersebut kepada beliau.
Beliau berkata, “pemeriksaan” itu dijalankan pada 6 Julai 2015 ke atas ibu pejabat Ambank di Raja Culan di bawah Seksyen 14 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram.
“Kami jalankan serbuan itu sebab bank berkenaan tidak menyerahkan laporan mengenai transaksi mencurigakan daripada akaun Najib,” katanya ketika disoal balas oleh peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah.
Di bawah undang-undang pencegahan pengubahan wang haram, bank tempatan perlu memaklumkan kepada BNM sekiranya pemegang akaun menerima atau mengeluarkan wang sebanyak RM500,000 atau lebih, sama ada di dalam negeri atau luar negara.
Pengurus Ambank cawangan Raja Chulan R Uma Devi berkata sebelum ini, berdasarkan rekod dari 2011 hingga 2013, RM2.6 bilion (US$681 juta) masuk ke akaun milik Najib yang dibuka pada 13 Jan, 2011.
Katanya, berdasarkan rekod, RM2.6 bilion itu adalah derma dan pemberian Faisal bin Turki, anggota keluarga diraja Saudi, dan juga daripada Blackstone Asia Real Estate Partners.
Juga didedahkan bahawa RM304 juta dimasukkan ke akaun itu pada 2011, RM756 juta pada 2012 dan RM1.9 bilion pada 2013.
Pada 23 Ogos, 2014, RM2.034 bilion (US$620 juta) dihantar keluar negara.
Pengurus pemproses cek Ambank Badrul Hisam Mohamed juga memberitahu mahkamah RM10.7 juta diberikan kepada 2 parti komponen Barisan Nasional, di samping individu dan syarikat melalui 2 akaun bank milik Najib dari hujung 2014 hingga awal 2015.
Ahmad Farhan berkata, bank perlu menyerahkan laporan transaksi yang mencurigakan kepada bank pusat untuk dianalisis.
Katanya, Ambank dikenakan denda kompaun kerana kesalahan dilakukannya di bawah undang-undang pencegahan pengubahan wang haram, tetapi beliau tidak mendedahkan amaunnya.
Ahmad Farhan berkata BNM juga tidak memberitahu Najib, yang ketika itu menrupakan perdana menteri dan menteri kewangan mengenai transaksi yang mencurigakan daripada akaunnya itu.
“(Tindakan) itu dianggap memberi maklumat (tip off) kepadanya,” apabila ditanya Shafee mengapa BNM tidak berbuat demikian.
Katanya, transaksi yang mencurigakan itu boleh disiasat oleh agensi siasatan lain, seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Kastam.
Ahmad Farhan berkata, wakil SPRM berjumpa dengannya pada Ogos 2015 dan beliau menyerahkan dokumen yang dirampas semasa serbuan tersebut.
BNM dikatakan menyerbu bank tersebut berikutan laporan Wall Street Journal pada 2 Julai 2015 yang mendakwa sejumlah wang yang banyak ditemui dalam akaun Najib.
Ini juga membawa kepada penubuhan pasukan petugas terdiri daripada wakil Pejabat Peguam Negara, SPRM, BNM dan polis.
Najib berhadapan dengan 6 pertuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah dalam pemindahan RM42 juta ke akaun beliau daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.
Beliau juga dituduh menyalah guna kuasa sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan ke atas pinjaman SRC International sebanyak RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan.
Najib didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd di Jalan Raja Chulan dan Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 10 Februari 2015.
Perbicaraan di depan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung.