Dr Mahathir, matrikulasi bukan ‘pintu belakang’

Pemimpin yang mempunyai kecintaan kepada kuasa dan masalah ego sehingga pernah tidak mahu meletakkan jawatan sebagai presiden Umno walaupun menang dengan satu undi pada tahun 1987 kini menyifatkan program matrikulasi sebagai “pintu belakang” untuk pelajar Melayu masuk ke universiti.

Hakikatnya, program matrikulasi yang diwujud dan dicanang oleh beliau sendiri sekitar tahun 1999 adalah suatu laluan alternatif kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak berminat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) suatu ketika dahulu.

Tambahan pula, pada ketika itu sejumlah besar pelajar Melayu tidak berkemampuan dan memerlukan bantuan asrama dan sokongan kemudahan khas lain.

Selin itu adalah sesuatu yang tidak wajar untuk menyatakan bahawa program ini adalah “pintu belakang” untuk orang Melayu masuk ke universiti kerana pelajar yang masuk ke matrikulasi bukan calang-calang keputusan akademiknya.

Sejak muda Dr Mahathir memang terkenal dengan ungkapan bahawa Melayu itu adalah bangsa yang malas, atau lazy atau berat tulang, mengikut pepatah Melayu.

Kenyataan bahawa matrikulasi adalah “pintu belakang” secara tersiratnya adalah mesej daripada beliau bahawa Melayu itu malas atau tidak kompeten serta wajib mendapat bantuan daripada kerajaan jika ingin berjaya.

Ya, Melayu malas! Seperti yang biasa dicanangkan dan disuarakan (mungkin dipersendakan) oleh Dr Mahathir bahawa kenyataan itu sebagai suatu kebenaran. Ini adalah imej orang Melayu ang selalu beliau mainkan.

Saya bukanlah pemimpin atau ahli politik berpengalaman seperti Dr Mahathir, tetapi alhamdulillah, kehidupan dan pengalaman kerdil sebagai anak seorang buruh kilang serta “budak flat” mengajar saya untuk memerhati dan menilai sesuatu menggunakan hati serta akal budi.

Hakikatnya Melayu tidak malas. Saya berpeluang melihat bagaimana ibu dan bapa Melayu berhempas-pulas membanting tulang bekerja sebagai buruh kilang seperti robot sehingga ada yang bekerja selama 12 jam sehari demi menyara anak-anak.

Saya juga berpeluang melihat bapa saya sendiri yang merupakan seorang buruh kilang berhempas-pulas membesarkan kami sekeluarga. Dalam masa yang sama, ibu saya juga mengambil upah sebagai pengasuh kanak-kanak serta mengusahakan kedai runcit pada siang hari.

Saya berpeluang melihat bagaimana bapa kepada anak Melayu yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dari hari Isnin sehingga Jumaat dan bekerja pula sebagai nelayan pada hujung minggu bagi menyara anak-anak.

Ketika cuti sekolah dahulu, saya juga pernah bekerja sebagai buruh kilang, penjaga stor 99 Speedmart, juruwang di beberapa stesen minyak.

Saya berpeluang melihat ramai anak Melayu yang bekerja di McDonald, KFC, Pizza Hut, Texas Chicken dan banyak lagi.

Saya juga nampak anak Melayu yang tidak bekerja dan tidak belajar, tetapi dalam masa yang sama saya juga berpeluang melihat dan berkenalan dengan berpuluh-puluh anak bukan Melayu yang tidak bekerja dan tidak belajar.

Justeru, berkata bahawa program matrikulasi merupakan laluan “pintu belakang” untuk anak Melayu masuk ke universiti adalah suatu penghinaan dan perbuatan merendah-rendahkan keupayaan mereka.

Dr Mahathir mengisyaratkan bahawa program matrikulasi merupakan perancangan yang sorok-sorok dan tidak adil apabila menyatakan ia adalah “pintu belakang”.

Seperti biasa beliau menumpahkan khayalannya secara semberono ke atas daya usaha dan kemampuan anak Melayu, sedangkan program tersebut antaranya bertujuan supaya wujudnya keadilan sosial dalam masyarakat.

Ia adalah dasar yang sah, adil dan berniat bona fide bagi memastikan wujudnya keseimbangan antara masyarakat Melayu dengan bukan Melayu dalam aspek pendidikan, ekonomi dan sebagainya.

Dengan penuh hormat, sekali lagi saya mahu mengatakan kenyataan Dr Mahathir bahawa program matrikulasi merupakan “pintu belakang” untuk masuk universiti adalah tidak betul, salah, dan bersifat menghina.

Khairul Naim Rafidi adalah seorang peguam muda di sebuah firma guaman di Selangor.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.