Hotel bajet dakwa bakal lingkup kerana Airbnb murah, tiada cukai

Perniagaan hotel bajet mulai merudum pada 2013 apabila Airbnb mula meraih populariti di Malaysia kerana ia lebih murah berbanding hotel bajet. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pengusaha hotel bajet memberi amaran mereka terpaksa menutup perniagaan mereka kerana berdepan persaingan sengit daripada perkhidmatan tempahan penginapan dalam talian global, Airbnb.

Persatuan Hotel Bajet Malaysia yang berjumlah 2,000 ahli itu berkata kebanyakan 100,000 orang yang bekerja dalam industri itu akan kehilangan pekerjaan tahun depan.

Ia berkata pengusaha terpaksa mengurangkan kakitangan untuk mengurangkan kos, dan menambah 10 hotel bajet menghentikan operasinya di Kuala Lumpur pada 2017.

Ia berkata beban mereka adalah cukai dalam bentuk yang berbeza “sementara pengendali Airbnb bebas daripada sebarang bentuk cukai”.

“Sudah tentu kami tidak dapat bersaing dari segi harga dengan mereka. Kami kerugian wang,” kata Presiden persatuan, PK Leong kepada FMT.

Beliau berkata pengendali Airbnb menawarkan bilik sekurang-kurangnya RM40 hingga RM50 lebih murah daripada hotel bajet.

Leong berkata perniagaan yang pada mulanya berkembang mulai merudum pada 2013 apabila Airbnb mula meraih populariti di Malaysia kerana ia lebih murah berbanding hotel bajet.

Beliau menambah pengendali Airbnb menjalankan perniagaan dari rumah dan bebas daripada cukai pelancongan, cukai jualan dan perkhidmatan (SST), permit lesen dan cukai peribadi.

“Mereka menikmati faedah, sementara kami perlu bayar untuk setiap perkara. Ia lebih masuk akal bagi kami untuk menutup premis komersial kami dan turut menjalankan Airbnb,” katanya.

Beliau menggesa kerajaan mula mengenakan cukai yang sama kepada Airbnb seperti yang dikenakan ke atas hotel bajet supaya mereka semua berada pada kedudukan yang sama dalam perniagaan.

Pada 2018, pengendali hotel bajet meminta kerajaan mengecualikan mereka daripada cukai pelancongan kerana pelanggan dengan bajet rendah merasa terbeban dengan bayaran tambahan RM10 untuk setiap malam.