Janji had tempoh jawatan PM, pemisahan kuasa mungkin tinggal impian, kata peguam

PH antara lain berjanji mahu memisahkan peranan peguam negara daripada pendakwa raya.

PETALING JAYA: Pakar undang-undang mempersoal kemungkinan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janjinya untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 2 penggal dan memisahkan peranan peguam negara daripada pendakwa raya menjelang setahun ia menguasai Putrajaya.

Bercakap kepada FMT, hakim bersara Gopal Sri Ram menyebut tentang kegagalan terbaru pakatan politik itu meminda perlembagaan bagi mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi setaraf semenanjung Malaysia.

Katanya, pindaan tersebut akan memberi manfaat kepada 2 negeri tersebut tetapi ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), PAS dan parti Sarawak memilih untuk tidak mengundi di Dewan Rakyat.

Ini katanya, menimbulkan keraguan sama ada mereka akan menyokong perubahan seterusnya ke atas undang-undang tertinggi negara itu.

Beliau juga menyebut tentang pengaruh besar perdana menteri, peguam negara dan pendakwa raya selepas mereka dilantik ke jawatan masing-masing oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Kuasa demokrasi berada di tangan perdana menteri, sementara peguam negara, selain merupakan penasihat undang-undang kerajaan yang utama, adalah juga penjaga kepentingan awam atas kedudukannya sebagai pendakwa raya,” katanya.

Bagi memisahkan 2 peranan itu, Perkara 15 perlembagaan persekutuan berserta 15 undang-undang persekutuan lain, termasuk Kanun Acara Jenayah, perlu dipinda.

Dalam manifesto pilihan rayanya, PH berjanji perdana menteri juga tidak akan memegang jawatan kementerian lain, terutamanya menteri kewangan.

Bekas presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan bagaimanapun berkata, ini sukar dilaksanakan kerana negara mengamalkan sistem demokrasi berparlimen Westminister.

“Perdana menteri kita dilantik oleh Agong, yang membuat pertimbangan sama ada seseorang ahli Parlimen mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, di bawah perlembagaan, perdana menteri adalah ahli Dewan Rakyat dan boleh menjadi calon bagi jawatan ketua eksekutif politik dengan syarat beliau mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen lain.

“Ahli Parlimen yang sama boleh membuat undi tidak percaya bagi menjatuhkannya daripada jawatan itu,” katanya dengan menambah tidak ada negara yang meletakkan had sedemikian ke atas tempoh jawatan perdana menteri.

Kemungkinan terbaik kata beliau, ialah perlembagaan dipinda bagi menghalang seorang bekas perdana menteri bertanding di satu kerusi Parlimen lebih daripada 2 penggal.

Hanya dalam pilihan raya presiden perlembagaan boleh dipinda bagi mengehadkan tempoh jawatan, seperti di AS, katanya.

“Di sana pengundi memilih presiden mereka. Di Malaysia, perdana menteri dipilih sebagai ahli Parlimen terlebih dahulu, dan kemudiannya dilantik ke jawatan itu dengan sokongan majoriti wakil rakyat.”

Bagaimanapun Jawatankuasa Reformasi Institusi yang dipengerusikan oleh bekas hakim KC Vohrah menyokong pemisahan kuasa antara peguam negara dengan pendakwa raya.

Jawatankuasa berkenaan yang mengumpulkan maklum balas pemegang taruh berkata, peguam negara perlu dilantik dalam kalangan ahli Parlimen yang berkelayakan dan dijadikan seorang menteri yang berperanan sebagai penasihat undang-undang kerajaan.

Sementara itu pendakwa raya hendaklah merupakan individu yang bebas daripada kepentingan politik dan mempunyai autonomi untuk membuat pendakwaan,” katanya.

Majlis Peguam, yang mewakili kepentingan lebih 18,000 peguam di semenanjung Malaysia turut menyokong pemisahan kuasa tersebut.

Bekas presidennya George Varughese berkata, pada masa ini peguam negara memainkan 2 peranan berbeza di bawah perlembagaan kerana beliau merupakan pendakwa raya dan juga penasihat undang-undang utama kerajaan.

“Memakai 2 jubah secara serentak menempatkan beliau di 2 kedudukan konflik kepentingan yang sukar dan tidak tercabar. Dari masa ke masa kepentingan klien beliau, iaitu kerajaan yang memerintah, berkemungkinan bercanggah sama sekali dengan kepentingan awam.”

Beliau berkata, pengalaman lampau menunjukkan keadaan sedemikian berlaku apabila ahli politik didakwa atas kesalahan jenayah.

Bagaimanapun Persatuan Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (Jalsoa) yang terdiri daripada hakim mahkamah rendah, timbalan pendakwa raya dan pendaftar mahkamah berkata, ia akan mendapatkan maklum balas mengenai isu berkenaan daripada anggotanya.

Presiden Jalsoa, Abdul Razak Musa berkata, borang kajian telah diedarkan kepada kira-kira 2,000 orang ahlinya semasa mesyuarat agung tahunan persatuan baru-baru ini.