Majlis khas pulih Sandakan jika DAP menang, kata Kit Siang

KOTA KINABALU: Pemimpin DAP, Lim Kit Siang berjanji kerajaan akan menubuhkan sebuah majlis khas untuk memulihkan Sandakan jika parti itu memenangi pilihan raya kecil Sabtu ini.

Bercakap kepada pemberita hari ini, Lim berkata majlis khas itu akan diketuai calon DAP untuk Parlimen Sandakan, Vivian Wong jika dia memenangi pilihan raya kecil dengan margin besar.

“Sandakan dulu merupakan bandar terpenting di Sabah. Tetapi sekarang ia mengalami kemunduran jauh di belakang Kota Kinabalu. Ini tidak boleh berterusan berlaku. Ahli Parlimen Sandakan, Stephen Wong, mempunyai rancangan untuk memulihkan Sandakan, tetapi malangnya dia meninggal dunia.

“Kami mahukan legasinya terus hidup di Sandakan dan menjadikan ia sebuah bandar yang makmur dengan masa depan yang hebat. Seperti sekarang, saya tidak nampak apa-apa program untuk memajukan Sandakan,” katanya.

Lim terkejut apabila dia menyedari Sandakan tidak mempunyai kolej atau program pra-universiti dan belia terpaksa meninggalkan bandar itu untuk meneruskan pendidikan tertiari mereka.

Selain itu, Sandakan juga memerlukan lebih banyak prasarana seperti menaik taraf landasan di Lapangan Terbang Sandakan.

Beliau berkata anggota majlis khas itu akan terdiri daripada menteri-menteri di peringkat persekutuan dan negeri dan akan diberi tugas untuk mengadakan satu pelan bersepadu untuk memulihkan Sandakan.

Majlis khas itu juga akan memberi idea mengenai isu-isu seperti pelancongan, infrastruktur, elektrik, air, kesihatan dan kerajaan tempatan.

“Majlis khas ini penting untuk mengembalikan Sandakan ke zaman gemilangnya. Selain daripada badan-badan kerajaan, ia juga akan melibatkan NGO dan sektor swasta. Saya rela menjadi penasihat majlis khas ini dan menyumbangkan masa dan idea saya dan akan datang ke sini untuk meninjau pelaksanaan projek,” katanya.

Beliau berkata Sandakan sentiasa menjadi kubu pembangkang pada masa lalu kerana orang Sandakan mahu kebebasan dan pembangunan.

Tetapi sekarang, beliau berkata DAP sebahagian daripada kerajaan, baik di peringkat negeri dan peringkat persekutuan.

“Apa yang selalu kita ingin lakukan pada masa lalu, kini kita dapat melakukannya. Saya berharap orang Sandakan akan memberi peluang kepada kita bukan sahaja untuk mengubah Sandakan tetapi juga untuk melaksanakan program-programnya.

“Saya fikir majlis khas ini akan menjadi ‘game changer’ bagi Sandakan dan menaikkan status bandar ini sekali lagi,” katanya.