Setiausaha Negara AS lawat Baghdad secara mengejut

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo berkata, lawatan mengejut itu berikutan tindak-tanduk Iran yang dilihat mahu mencetuskan persengketaan ekoran langkah AS untuk mengharamkan eksport minyak Iran. (Gambar Reuters)

BAGHDAD: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo pada Selasa mengadakan lawatan mengejut ke Baghdad dan bertemu pemimpin Iraq bagi membincangkan mengenai perkembangan terbaru di rantau itu, di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak dengan Iran, lapor agensi berita Xinhua.

Ketika ditemui pemberita selepas pertemuan itu, Pompeo berkata, lawatan mengejut itu berikutan tindak-tanduk Iran yang dilihat mahu mencetuskan persengketaan ekoran langkah AS untuk mengharamkan eksport minyak Iran.

Katanya, pemimpin Iraq berjanji melindungi kepentingan AS kerana memahami ia menjadi tanggungjawab mereka.

Menteri Luar Iraq, Mohammed al-Hakim dalam Twitternya berkata, beliau turut serta dalam 2 mesyuarat penting bersama Pompeo dengan Perdana Menteri Iraq Adel Abdul Mahdi dan Presiden Iraq Barham Salih.

“Kami membincangkan hubungan 2 hala dan perkembangan terkini keselamatan serantau, serta usaha memerangi keganasan,” kata al-Hakim, tanpa memberikan butiran lanjut.

Pompeo tiba di Baghdad selepas membatalkan lawatannya ke Jerman pada Selasa.

Lawatan beliau ketika ketegangan memuncak di rantau itu, selepas Presiden Donald Trump memutuskan untuk menamatkan pengecualian sekatan terhadap negara yang masih mengimport minyak dari Iran.

Pengecualian untuk China, India, Jepun, Korea Selatan dan Turki itu akan tamat awal Mei. Ia bertujuan untuk memberikan tekanan terhadap Iran.

Baru-baru ini, AS turut meningkatkan aktiviti ketenteraannya dengan menghantar kumpulan kapal pengangkut pesawat penggempurnya berhampiran Iran.