Tanya Najib pasal duit 1MDB bila dia datang, DAP beritahu pengundi Sandakan

Tanya Najib pasal duit 1MDB bila dia datang, DAP beritahu pengundi Sandakan

Bekas perdana menteri Najib Razak dikatakan akan ke Sandakan Jumaat, sehari sebelum hari mengundi PRK kerusi Parlimen itu.

Timbalan setiausaha agung DAP, Nga Kor Ming.
KOTA KINABALU:
Pemimpin DAP menggesa pengundi Sandakan mengambil kesempatan bertanya Najib Razak isu 1MDB apabila bekas perdana menteri itu datang ke situ minggu ini.

Timbalan setiausaha agung DAP Nga Kor Ming merujuk kepada cakap-cakap bahawa Najib akan ke Sandakan Jumaat ini, sehari sebelum hari membuang undi pilihan raya kecil (PRK) kerusi Parlimen itu.

“Ini merupakan kes pengubahan wang haram paling besar di dunia. Kalau tidak benar, mengapa kerajaan AS (Amerika Syarikat) kembalikan sejumlah wang yang dirampas berkaitan dengan kes 1MDB?

“Kerajaan AS tidak dengan memulangkan wang begitu sahaja sekiranya ia tidak disahkan dicuri,” katanya.

Katanya, kerajaan akan terus berusaha mendapatkan kembali wang itu, dengan mengatakan setakat ini AS baru kembalikan RM236.5 juta.

Menurut Peguam Negara, Tommy Thomas, wang itu adalah ansuran pertama diperoleh daripada aset yang dirampas berkaitan dengan 1MDB.

Semalam, Tommy memberitahu rampasan itu dibuat di bawah Inisiatif Pemerolehan Semula Aset Kleptokrasi Jabatan Kehakiman (DoJ) AS.

Jumlah itu dipindahkan ke akaun pemerolehan semula aset 1MDB yang dibuka untuk tujuan terssebut.

Nga berkata, “inilah sebab saya harap rakyat Sandakan berdiri teguh di belakang kerajaan PH kerana kita berusaha mendapatkan semua wang tersebut, yang didakwa sebanyak RM18.4 bilion.

“Setakat ini kita dapat balik 10% daripada wang itu dan pulangkan kepada rakyat untuk membangunkan negara ini,” katanya.

Nga menggesa pengundi Sandakan menghantar isyarat jelas bahawa rakyat mahukan kerajaan bersih.

PRK Sandakan akan berlangsung Sabtu ini. Kerusi Parlimen itu kosong berikutan kematian bekas penyandangnya Stephen Wong, Mac lalu.

Anak perempuan bungsu Wong, Vivian Wong, dipilih sebagai calon DAP di situ. Beliau berdepan dengan naib presiden PBS Linda Tsen dan 3 calon Bebas.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.