Wanita berkeluarga bukti mampu raih kejayaan besar

Berkahwin bukanlah satu alasan untuk tidak meneruskan impian.

Malah jika diteliti wanita berkahwin mempunyai keyakinan diri yang lebih tinggi.

Itulah kata-kata semangat yang diluahkan Kokilam Kathirvailu, yang meraih tempat ke-3 pertandingan ratu cantik Mrs World 2019 yang diadakan di Las Vegas, Amerika Syarikat pada Sabtu lepas.

Kokilam, 34, berkata, wanita yang sudah berkahwin harus menyedari bahawa kehidupan tidak berakhir apabila mereka bernikah kerana ada banyak perkara yang boleh mereka sumbangkan untuk pembinaan negara dan memperkasakan wanita.

“Wanita yang berkahwin harus menaruh impian besar dan jangan berkompromi dalam impian dan harapan mereka.

“Dengan memenangi pertandingan ratu cantik ini, saya mahu menjadi contoh, iaitu seseorang wanita yang baru berkahwin, kehidupan mereka tidak berakhir. Harus menaruh harapan besar dan capailah impian itu.

“Wanita yang berkahwin sama ada seorang wanita yang berkerjaya atau bergelar ibu, tidak harus tinggal di rumah dan harus belajar pelbagai tugas,” katanya kepada Bernama selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari Las Vegas.

Kokilam, yang berasal dari Kuala Lumpur, dan mempunyai 3 anak, berkata pertandingan ratu cantik itu sengit kerana beliau terpaksa bersaing dengan 36 peserta negara lain.

Beliau berkata ia satu penghormatan kerana buat kali pertama dalam tempoh 35 tahun, seorang rakyat Malaysia berjaya muncul sebagai seorang daripada 3 pemenang utama dalam pertandingan ratu cantik Mrs World.

Mengenai masa depannya, Kokilam berkata beliau mahu bekerja dan menyokong usaha pemerkasaan wanita.

Sementara itu, Harveen Kaur, yang merupakan pengarah nasional Mrs Malaysia World, memuji pencapaian cemerlang Kokilam di peringkat antarabangsa walaupun telah berumah tangga dengan memikul tanggungjawab yang berat.

Mrs World, pertandingan ratu cantik pertama dan tertua di dunia yang diasaskan oleh David Marmel yang juga presidennya.

Ia diwujudkan pada 1984 dan kini mempunyai pengarah nasional di 80 negara.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]