Deepak akan dedah di Al Jazeera tapi dakwaan ditepis Najib

Deepak Jaikishan.

PETALING JAYA: Deepak Jaikishan, seorang ahli perniagaan yang pernah dikaitkan dengan Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor, akan membuat pendedahan di program 101 East di Al Jazeera tentang sogokan untuk memenangi kontrak kerajaan.

Episod “Malaysia: Power and Corruption” itu merupakan episod terakhir 101 East mengenai 1MDB dan akan disiarkan Al Jazeera berbahasa Inggeris pada 6.30 pagi esok.

Bercakap kepada FMT, Najib bagaimanapun menepis dakwaan Deepak, mengatakan ia tidak berasas dan diada-adakan.

Dalam episod minggu ini, wartawan Al Jazeera, Mary Ann Jolley menemubual Deepak tentang dakwaan dia menyogok Najib dan Rosmah dengan wang tunai dan barangan kemas bernilai jutaan ringgit untuk mendapatkan kontrak lumayan daripada kerajaan.

“Rosmah tamak. Dia mahu semuanya,” katanya kepada Al Jazeera.

“Berlian-berlian itu, terutama barangan yang mahal dan tak ternilai, cara dia menyimpan wang mereka. Ia cara mudah untuk dia menyalur keluar wang dan menyimpannya di tempat yang mudah,” katanya.

Pada ulangtahun pertama sejak Pakatan Harapan merampas Putrajaya daripada Barisan Nasional, Deepak memberitahu Jolley bahawa Najib dan Rosmah tak pernah terfikir mereka akan kalah pilihan raya umum atau polis akan serbu rumah mereka.

Beliau juga mendakwa peniaga barangan kemas akan ke rumah Rosmah ketika dia berada di situ, dan Rosmah akan memintanya membayar barang yang dipilihnya.

Deepak juga mendakwa Rosmah seperti perdana menteri.

“Ia hinggakan setiap projek perlu melaluinya.”

Rosmah berdepan 19 pertuduhan melibatkan pengubahan wang, pengelakan cukai dan meminta suapan jutaan ringgit untuk kontrak kerajaan.

Najib pula berdepan lebih 40 pertuduhan melibatkan pengubahan wang dan salah guna kuasa. Kedua-duanya menafikan semua tuduhan itu.

Sebelum ini, Deepak memfailkan saman RM656 juta terhadap Najib, Rosmah, Boustead Holdings dan Bakti Wira Development Sdn Bhd, mendakwa campurtangan dalam urus janji hartanah yang menyebabkan syarikatnya mengalami kerugian besar.

Najib ketika dihubungi menafikan tuduhan Deepak, mengatakan ia bertujuan untuk mencemar namanya dan Rosmah.

Najib juga berkata Boustead dan anak syarikatnya, Bakti Wira Development, menafikan dakwaan Deepak sebagai “tidak berasas, semberono, menyakitkan hati dan tidak dapat dijustifikasikan”.

Media patut bertanya pada Deepak dari mana dia peroleh jutaan wang untuk diberikan sebagai “hadiah”.

“Jika dia memiliki semua bukti mengenai hadiah-hadiah itu, dia patut bawa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk disiasat,” katanya kepada FMT.

“Saya yakin SPRM, bawah kerajaan PH, tidak akan teragak-agak bertindak terhadap kami jika benar dakwaannya.”