Isu bazar Ramadan, cabaran terbesar Khalid sebagai menteri Wilayah

Pengusaha bazar Ramadan Jalan TAR dan Masjid India tidak bersetuju dengan keputusan Kementerian Wilayah menempatkan mereka di Jalan Raja.

PETALING JAYA: Isu bazar Ramadan merupakan halangan terbesar yang dihadapi Khalid Samad dalam tempoh setahun menjadi menteri Wilayah Persekutuan.

Dilantik menerajui kementerian itu bermula Julai 2018, Khalid diakui berjaya membawa beberapa pencapaian dan pembaharuan tetapi banyak juga isu yang timbul daripada pembaharuan yang cuba dilakukannya.

Bercakap kepada FMT, Jawatankuasa Bertindak Bazar Ramadan 2019 berkata keputusan menempatkan peniaga bazar Ramadan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Masjid India ke Jalan Raja adalah tidak sesuai.

“Pertama sekali nilai tradisi. Apabila sebut Jalan TAR dan Masjid India memang sudah tahu tempat bazar Ramadan, sebab setiap tahun memang tempat mencari pakaian dan persiapan raya.

“Kita tengok lokasi sekarang dibuat di tengah-tengah jalan dan seberang jalan ada kenderaan keluar masuk. Ini jadi masalah pengunjung nak datang,” kata Jurucakap Jawatankuasa Bertindak Bazar Ramadan, Gulam Muszaffar.

Gulam berkata tiada promosi dilakukan berhubung lokasi baru bazar Ramadan dan konsep karnival juga tidak sesuai dibuat selama 30 hari.

“Biasa 3 hari atau 2 hari, misalnya karnival Jom Heboh tak ada sampai 30 hari. Dia akan buat 3 hari, Jumaat sampai Ahad. Konsep itu tidak sesuai sebagai bazar Ramadan.

Isu lain dihadapi Khalid

Antara isu dihadapi Khalid sepanjang tempoh setahun menerajui pentadbiran Pakatan Harapan adalah mengenai perundingan yang sedang dijalankan untuk menyiapkan Pelan KL 2040 dan selepas itu akan diwartakan menjelang akhir tahun 2020.

Pada 5 Januari lalu, projek pembinaan pencakar langit di ibu negara mungkin dihentikan menjelang 2021 kerana pembangunan berkepadatan tinggi akan menjejaskan imej dan kehidupan di Kuala Lumpur, kata Datuk Bandar, Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Kementeriannya juga sedang berusaha menyelesaikan pembangunan di Taman Rimba Kiara dekat Taman Tun Dr Ismail (TTDI) bagi membolehkan hampir 100 keluarga yang mendiami rumah panjang sementara di situ mendapat rumah kekal seperti dijanjikan kerajaan sejak 36 tahun lalu.

Projek pembangunan Taman Rimba Kiara mencetuskan kontroversi apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada April 2017 mengeluarkan perintah pembangunan bagi projek mega di atas lot seluas 4.8 hektar daripada 10.1 hektar itu yang melibatkan pembinaan 1 blok 350 unit rumah mampu milik untuk komuniti rumah panjang Bukit Kiara dan 8 blok kondominium mewah 50 tingkat.

Bagaimanapun, Khalid berpendapat projek pembangunan itu wajar diteruskan apabila pembangunan bagi tanah lot seluas 4.8 hektar itu mahu dikurangkan kepada 3.2 hektar selepas mengambil kira bantahan daripada penduduk setempat.

Projek berkenaan agak kontroversi kerana mendapat bantahan penduduk sekitar, selain ahli Parlimen di kawasan berkenaan.

Pada 23 April lalu, ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menolak cadangan Khalid yang bersetuju saiz projek pembangunan Taman Rimba Kiara dekat TTDI dikecilkan.

Kementeriannya turut mengumumkan penutupan Jalan TAR kepada kenderaan persendirian bermula 6 dan 7 April lalu dari pukul 8 pagi hingga 11.59 malam. Penutupan percubaan selama sebulan itu akan memberi ruang dan keselesaan kepada pejalan kaki yang mengunjungi kawasan tersebut.

Pada 13 Februari lalu, penutupan jalan sepanjang kira-kira 1km dari Jalan Esfahan sehingga Jalan Melayu itu dibuat bagi memberi lebih keselesaan kepada orang ramai untuk berurusan di kawasan perniagaan tersebut.

Kementerian Wilayah juga sedang merancang untuk mengatasi masalah kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur dengan memastikan setiap jalan utama di ibu negara mencapai Tahap C.

Pada 22 April lalu, Khalid berkata pelantikan perunding untuk tangani kesesakan lalu lintas di KL hanya dapat dilakukan pada Ogos tahun ini.

Keputusan DBKL untuk mencabar keputusan mahkamah berhubung Taman Tiara Titiwangsa, menimbulkan kemarahan badan bukan kerajaan (NGO) Selamatkan Kuala Lumpur (SKL) dan penduduk.

Cadangan pembinaan yang dipersetujui oleh DBKL dilihat mempunyai kepentingan terhadap pihak tertentu ketika ia diluluskan pada 2014.

Pada April 2017, penduduk ada membuat aduan kepada SPRM menerusi peguam yang dilantik bagi menyiasat kedudukan tanah itu yang dicadangkan untuk dibangunkan 2 blok kondominum mewah.

Pada 28 Mei lalu, ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata menerusi pelan Greater Kuala Lumpur, tanah itu yang membabitkan keluasan kira-kira 7.6 ekar tersenarai sebagai kawasan hijau dan bukan untuk dibangunkan.

Namun, Nik Nazmi berkata pada September 2014, ia ditukar hak milik kepada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) untuk dibangunkan dengan kondominium mewah.

Pencapaian dalam tempoh setahun

Dalam tempoh setahun menerajui kerajaan, Khalid berjaya menubuhkan Mesyuarat Majlis Menteri dan antara kejayaan besar lain yang dicapai kementeriannya dalam setahun adalah mewujudkan Mesyuarat Majlis Menteri yang diwakili 11 ahli Parlimen Kuala Lumpur. Mesyuarat Majlis Menteri hampir mendekati konsep pilihan raya kerajaan tempatan.

Kementerian Wilayah Persekutuan juga berjaya menjimatkan dana awam sebanyak RM481 juta hasil daripada semakan semula kira-kira 97 urus niaga tanah meragukan yang diluluskan ketika pentadbiran lalu.

Daripada 97 transaksi tanah itu, 43 didapati tidak bermasalah, 14 dibatalkan, 15 dirunding semula dan 5 melibatkan penyelesaian luar mahkamah.

Khalid berkata kerajaan persekutuan juga sedang mencari jalan untuk membeli tanah sedia ada di Kampung Baru bagi tujuan penempatan Melayu di Kuala Lumpur. Beliau berkata pembelian tanah tersebut bagi memastikan pembangunan semula yang lebih teratur dan menyeluruh di kawasan segi tiga emas itu.

Mengenai akhabar Wilayahku, katanya, kerajaan memperuntukkan kos sebanyak RM1 juta setahun. Beliau berharap ada syarikat dan peniaga sanggup buat pengiklanan dan dapat mengurangkan kos pembiayaannya.

Sementara itu, peguam Derek Fernandez yang sering menyuarakan pendapat mengenai perancangan dan pembangunan di bandar, berkata Khalid bukan seorang ahli Parlimen dari Kuala Lumpur dan kerana itu mungkin tidak mengetahui apa yang disuarakan oleh ahli Parlimen di kawasan itu sebelum ini.

“Dia mungkin tidak peka terhadap penyalahgunaan yang mereka alami semasa era Barisan Nasional dan banyak janji yang dibuat oleh mereka oleh Ahli Parlimen KL semasa pilihan raya umum yang tidak ditunaikan (selepas memenangi pilihan raya umum ke-14).

“Para penduduk KL benar-benar merasa dikhianati dan kehilangan keyakinan Pakatan Harapan,” katanya kepada FMT.

Manakala, SKL berkata banyak janji yang dibuat sebelum PRU14 belum ditunaikan lagi.

Timbalan Pengerusi SKL, M Ali berkata banyak isu yang dibuat ketika kerajaan lama ‘dihalalkan’ pada masa ini.