Kastam Thailand rampas 5,000 liter petrol, diesel dari Malaysia

15 individu ditahan kastam Thailand di sempadan negara selepas menyeludup petrol dan diesel dari Malaysia.

SONGKHLA: Kastam Thailand semalam menumpaskan cubaan menyeludup 5,000 liter diesel dan petrol dari Malaysia dan menahan 15 warga Thai.

Jurucakap Kastam berkata dalam kejadian antara 4 hingga 7 pagi (waktu tempatan) semalam, pihak kastam Thailand mengesan 15 kenderaan yang mencurigakan di sempadan Padang Besar, Perlis – Sadao, Songkhla.

“Siasatan awal mendapati semua kenderaan, termasuk 10 buah pikap itu diubah suai untuk membawa 200 hingga 500 liter petrol dan diesel.

“Semua 15 pemandu kenderaan itu turut ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Harga petrol RON 95 ialah RM2.08, RON 97 RM2.80 dan diesel ialah RM2.18 di Malaysia.

Di Thailand, harga Diesel ialah 28.09 baht (RM3.67) dan petrol 31.69 baht (RM4.14) manakala gasohol (campuran petrol dan ethanol) pelbagai gred adalah antara 29.38 baht (RM3.83) dan 28.09 baht (RM3.67).