Levi pelepasan keluar negara dicadang kuat kuasa Julai

Timbalan Menteri Kewangan Amiruddin Hamzah berkata, pengecualian levi pelepasan turut diberikan kepada bayi berusia 24 bulan ke bawah dan penumpang transit, tanpa mengira tempoh transit. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Levi pelepasan dicadang dikenakan kepada mana-mana individu yang keluar dari negara seperti diumumkan dalam Belanjawan 2019, dicadang dikuatkuasa mulai 1 Julai ini atau satu tarikh yang ditetapkan kemudian, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan Amiruddin Hamzah ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Levi Pelepasan 2019 untuk bacaan kali kedua bagaimanapun menegaskan bahawa levi itu hanya akan dikenakan kepada mereka yang menggunakan pengangkutan udara sahaja.

Beliau berkata, ini termasuk melibatkan jet peribadi atau helikopter, sama ada secara sewa khas ataupun ‘chartered’.

“Pengecualian akan dikenakan kepada orang yang meninggalkan Malaysia dengan berjalan kaki atau memandu sendiri kenderaan, seperti motosikal, kereta, (menaiki) bot, feri, memandu sendiri kapal terbang atau anak kapal ataupun krew kabin yang sedang bertugas.” katanya pada persidangan Dewan Negara, di sini hari ini, sebelum RUU berkenaan diluluskan dengan suara majoriti.

Beliau berkata kadar levi dicadang adalah RM20 bagi mereka yang keluar ke negara Asean dan RM40 ke negara lain, namun terdapat cadangan agar kadar itu disemak agar lebih bersifat adil, umpamanya mengambil kira kelas penerbangan penumpang.

“Sehubungan itu, kajian sedang dijalankan untuk tentukan kadar levi paling bersesuaian untuk dikenakan, dan cadangan kadar melalui kajian ini akan dikemukakan kepada jemaah menteri untuk kelulusan, sebaik diluluskan ia akan diwartakan,” katanya.

Amiruddin berkata pengecualian levi pelepasan turut diberikan kepada bayi berusia 24 bulan ke bawah dan penumpang transit, tanpa mengira tempoh transit.

Bagi pengecualian untuk mereka yang ke luar negara atas urusan agama, beliau berkata perbincangan lanjut akan dijalankan di peringkat jemaah menteri sebelum diputuskan.