Loke pertahan peraturan baru cermin gelap kenderaan

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, peraturan baru itu selari dengan peraturan antarabangsa dan PBB.

PUTRAJAYA: Peraturan baru cermin gelap bagi bahagian sisi penumpang dan belakang kenderaan dikekalkan walaupun dibantah pelbagai pihak termasuk polis, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, pihaknya menghormati pandangan polis dalam soal risikan dan keselamatan, namun pindaan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan daripada semua pihak termasuk polis.

Berkuatkuasa semalam (8 Mei), penggunaan cermin gelap tanpa had atau gelap sepenuhnya dibenarkan pada cermin sisi kiri dan kanan penumpang serta cermin belakang kenderaan.

Peraturan sebelum ini menetapkan kadar ketelusan cahaya tampak pada 30%.

Berikutan itu, pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Azisman Alias dilaporkan berkata, peraturan baru cermin gelap itu boleh menyukarkan tugas penguatkuasaan.

“Dari segi penguatkuasaan dan mekanisme untuk menguatkuasakan peraturan baru ini, ketua pengarah JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) (Shaharuddin Khalid) akan berbincang dengan pihak polis khususnya polis trafik untuk menguatkuasakan peraturan baru ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Loke berkata, keputusan meminda Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 telah mengambil kira kepentingan semua pihak, termasuk polis ketika bengkel khas mengenai perkara itu pada Jun 2014.

“Majoriti peserta bengkel yang disertai pelbagai agensi termasuk polis setuju untuk mengekalkan ketelusan cahaya nampak (VLT) bagi cermin depan dan sisi pemandu pada 70% peratus dan 50 %, dan ia masih dihormati,” katanya.

Menurut Loke, beberapa tahun lepas ketua penolong pengarah Bahagian Risikan (D4) Bukit Aman, Abd Manaf Abd Razak, menyatakan tidak ada sebarang fakta yang menunjukkan peningkatan kes jenayah disebabkan penggunaan cermin gelap.

Loke yakin pihak polis mempunyai pelbagai cara untuk mengesan penjenayah seperti di China yang mengesan jenayah menerusi teknologi pengecaman wajah.

Beliau turut menegaskan bahawa pindaan yang dibuat adalah selari dengan peraturan antarabangsa dan di bawah peraturan UN Regulation No 43: Uniform Provisions Concerning the Approval of Safety Glazing Materials and Their Installation on Vehicles.

Terhadap kritikan bekas menteri pengangkutan, Liow Tiong Lai berhubung peraturan baru itu untuk menjana pendapatan kepada kerajaan, Loke berkata: “Mereka yang menggunakan cermin gelap ini adalah golongan berpangkat dan mereka mampu untuk membayar fi RM5,000.”

Menurutnya, kira-kira 17,000 kenderaan yang mendapat kebenaran cermin gelap daripada menteri pengangkutan dan ketua pengarah JPJ terdahulu dan apabila permit menggunakan cermin gelap mereka tamat nanti dan dikenakan fi RM5,000, maka ia membawa pendapatan kira-kira RM85 juta kepada kerajaan.

Loke berkata, ada kategori yang dibenarkan menggunakan cermin gelap untuk keseluruhan kenderaan, iaitu seperti pesakit kulit/mata, perdana menteri dan keluarga diraja.