Masjid mesra kanak-kanak untuk ibu bersolat tarawih

Bulan Ramadan menjadi bulan untuk umat Islam menggandakan ibadat.

Walaupun boleh bersolat tarawih di rumah, namun kaum ibu sesekali ingin merasa kemeriahan bersolat di masjid secara berjemaah.

Sebenarnya ada beberapa masjid yang cukup prihatin dengan keperluan ibu dalam menguruskan anak ketika solat.

Jadi ibu tidak perlu lagi bimbang dan berkata:

“Aduh, seriknya nak pergi masjid lagi. Tak tenang dibuatnya budak-budak ni asyik berlari. Sampai kena marah dengan orang kat sana…”

7 masjid mesra kanak-kanak sekitar Lembah Klang

Tempat solat paling afdal untuk wanita adalah di rumah, namun Islam tak menghalang untuk wanita turut merebut ganjaran solat berjemaah di masjid.

Selagi menjaga diri dengan menutup aurat sempurna dan tidak memakai wangian atau bertabaruj.

Masjid mesra kanak-kanak ini mengalu-alukan kehadiran anak kecil dengan menyediakan sudut permainan anak-anak. Juga membenarkan ibu bapa membawa anak kecil solat bersama.

1. Masjid UIAM Gombak

Masjid ini berimamkan imam yang mempunyai kualiti bacaan Al-Quran terbaik.

Masjid di sini sangat mesra kanak-kanak. Memang ada ruangan solat khas untuk ibu dan anak

Ramadhan 2019 ini, ada ruangan permainan untuk anak-anak di ruangan solat muslimah di Aras 2.

Cuma perlu dipantau sendiri oleh ibu atau anak yang besar.

2. Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam (Masjid Negeri Selangor)

“Kids Corner” yang terbaik! Sebab ada ramai volunteer dari kalangan pelajar IPT yang uruskan kanak-kanak.

Anak-anak perlu didaftari oleh ibu bapa. Dapat kad nama untuk setiap anak, tulis nama ibu bapa.

Paling bagus ada banyak bilik yang dikategorikan mengikut usia anak-anak.

Jadi, aktiviti dilakukan mengikuti usia.

Ada bilik yang anak-anak solat jemaah sesama mereka.

Anak-anak besar pula boleh masuk perpustakaan masjid untuk buat kerja sekolah selepas mereka selesai solat ikut kemampuan mereka.

Siap disediakan barang mainan untuk anak-anak bermain. Bayaran atas infak ibu bapa.

Untuk iktikaf, wanita dibenarkan tidur di ruangan solat bertutup di bahagian bawah masjid.

3. Masjid Wilayah, KL

Masjid ini ada volunteer daripada kalangan pelajar IPT yang bertugas setiap hari buat aktiviti “playgroup” untuk anak-anak.

Ada bilik “kids corner” bahagian bawah masjid, ibu bapa perlu daftarkan anak-anak, boleh letakkan anak mulai usia 6 bulan.

Di ruangan solat utama dan tingkat atas juga ada volunteer yang akan bawa peralatan mewarna dan kertas untuk aktiviti anak-anak.

Namun ibu bapa tetap kena pantau sendiri anak-anak kecil yang belum sesuai buat aktiviti sendiri.

Untuk iktikaf bahagian atas lebih selesa untuk muslimah. Ada lif.

4. Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong

Ada sudut taman mini permainan untuk anak-anak.

Cuma agak jauh dari ruangan solat ibu (harap tahun ini lebih dekat dengan ruang solat ibu).

Untuk iktikaf wanita boleh tidur bahagian atas, sejuk dan selesa.

Untuk lelaki kena tidur bahagian beranda masjid.

5. Masjid Putra, Putrajaya

Ada ruangan permainan khas untuk anak-anak. Cuma jauh dari ruang solat wanita. Tapi dalam ruang solat wanita ada ruangan untuk anak-anak bermain.

Mungkin sesuai untuk anak-anak dibekalkan dengan peralatan kertas dan pensel warna atau alat mainan sendiri.

6. Masjid Sultan Mizan, Putrajaya (Masjid Besi)

Masjid ini bukan saja luas dan cantik, ia juga ada sudut permainan anak-anak.

Cuma jauh dari ruangan solat ibu bapa.

Tempat yang selesa untuk wanita beriktikaf kerana pihak masjid akan letak penghadang lebih supaya bertutup ruangan muslimah.

7. Masjid Puncak Alam

Ada disediakan bilik permainan anak-anak yang terletak di bangunan pentadbiran masjid.

Ruang solat untuk ibu dan anak di bahagian ruang terbuka.

Beberapa lagi masjid mesra kanak-kanak di KL & Selangor

1. Masjid Bandar Sri Putra, Bangi

2. Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi

3. Masjid UNITEN

Masjid yang disenaraikan di bawah ini pula mempunyai ruang khas / tempat permainan untuk kanak-kanak.

1. Masjid UTM, KL

2. Masjid Al-Quddus, Seri Kembangan

3. Masjid Al-Umm, Bandar Baru Bangi

Didik anak cintakan masjid sejak kecil

Walaupun ada masjid mesra kanak-kanak tapi sebagai ibu bapa kita tetap perlu terapkan didikan awal berhubung adab berada dalam masjid seperti, tidak melintas di depan orang yang sedang bersolat, tidak menjerit dan menyanyi, dan tidak mengambil hak orang lain.

Moga anak-anak kita termasuk dalam kalangan pemuda pemudi yang cintakan masjid.

Sumber Ummu Uwais Azizah

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]