Najib minta KWAP percepat pinjaman RM2 bilion kepada SRC International, kata saksi

Azlida Mazni Arshad.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu bahawa bekas perdana menteri Najib Razak meminta Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) mempercepatkan proses kelulusan pinjaman sebanyak RM2 bilion kepada SRC International Sdn Bhd.

Naib presiden Jabatan Perundangan dan Kesetiausahaan KWAP, Azlida Mazni Arshad, 47, berkata, satu mesyuarat khas yang tidak dijadualkan pada peringkat awal telah diadakan, iaitu Mesyuarat Panel Pelaburan Khas No 1/2011 bertarikh 19 Julai 2011 bertujuan untuk membentangkan Kertas Panel Pelaburan Khas No 1/1/2011 yang disediakan Jabatan Pendapatan Tetap KWAP.

“Saya camkan ini adalah kertas cadangan untuk pertimbangan Panel Pelaburan KWAP bagi kelulusan pinjaman RM2 bilion kepada SRC untuk tujuan modal kerja dan pelaburan am,” katanya pada hari ke-16 perbicaraan kes Najib yang didakwa atas 7 tuduhan melibatkan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Saksi pendakwaan ke-35 itu berkata, beliau dimaklumkan mengenai kelulusan pinjaman itu pada satu mesyuarat khas yang dipengerusikan pengerusi KWAP Wan Abdul Aziz Wan Abdullah pada 19 Julai 2011.

Ketika pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya Ishak Mohd Yusoff mengapa pinjaman itu perlu disegerakan, saksi itu berkata, ia berdasarkan mesyuarat yang dipersetujui sebelumnya memandangkan terdapat arahan agar ia dipercepatkan.

“Saya sahkan bahawa ketua pegawai eksekutif KWAP Azian Mohd Noh ada memaklumkan dalam mesyuarat tersebut bahawa perdana menteri memaklumkan kepada pengerusi kWAP untuk mempercepatkan proses kelulusan pinjaman ini dan jumlah pinjaman sebanyak RM2 bilion sudah mencukupi.

“Dalam mesyuarat itu, Jabatan Pendapatan Tetap KWAP membentangkan kertas cadangan yang syarat dan terma pinjaman kepada SRC diperketatkan dengan syarat tambahan.

“Antara syarat tambahan itu adalah untuk SRC mendapatkan jaminan daripada kerajaan Malaysia, mendapatkan jaminan korporat daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta mengemukakan ‘letter of comfort/awarenes’ daripada Kementerian Kewangan Malaysia,” katanya.

Tambahnya lagi, syarat khas juga ditetapkan supaya tiada pertukaran struktur milikan SRC dan syarikat tersebut akan diletakkan secara terus di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Katanya, selepas kertas cadangan itu dipertimbangkan, Panel Pelaburan Khas berpendapat bahawa pinjaman RM2 bilion adalah terlalu besar bagi sebuah syarikat yang bermodal berbayar RM2 sahaja.

“Oleh itu, ahli panel bersetuju untuk memberikan pinjaman hanya RM1 bilion seperti dalam kertas cadangan asal sepertimana dibincangkan dalam Mesyuarat Panel Pelaburan pada 5 Julai 2011,” katanya.

Beliau berkata, ahli panel bersetuju untuk mempertimbangkan sekiranya pinjaman diberikan secara terus kepada 1MDB yang dimiliki penuh oleh MKD dan bukan kepada SRC.

Katanya, ia memandangkan 1MDB mempunyai pengurusan kewangan, disiplin dan tadbir urus yang dikawal selia oleh MKD selain risiko berkaitan pelaburan SRC, terutamanya risiko pembayaran, risiko “overconcentration”, risiko negara dan risiko industri serta keupayaan dan kewibawaan pihak pengurusan SRC dalam pelaburan sumber asli yang memerlukan kepakaran yang tinggi.

“Ahli panel turut berpendapat peruntukan pinjaman tidak perlu dikeluarkan secara sekali gus sebaliknya harus dibuat secara berperingkat dan disertakan dengan dokumen keterangan,” katanya.

Bagaimanapun, saksi itu berkata, mesyuarat bersetuju untuk meluluskan pinjaman sebanyak RM2 bilion pada 23 Ogos 2011 kepada 1MDB selepas mengambil kira pandangan ahli panel seramai 6 orang, termasuk pengerusinya Mohammed Azlan Hashim dan bekas menteri di Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri Abdul Wahid Omar.

“Pinjaman itu diluluskan berdasarkan sokongan KWAP terhadap Inisiatif Strategik Kerajaan, dengan syarat jaminan daripada KWAP adalah kepada 1MDB dan bersandarkan Jaminan Kerajaan atau KWAP memberikan pinjaman terus kepada kerajaan Malaysia sebagai peminjam dan seterusnya kerajaan memberikan pinjaman kepada 1MDB,” katanya.

Saksi itu berkata KWAP juga meluluskan permohonan SRC untuk menukar milikan daripada 1MDB kepada MKD pada 15 Feb 2012.

Najib, 66, didakwa atas 3 tuduhan pecah amanah, 1 tuduhan salah guna kedudukan dan 3 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Selasa.