Najib, Rosmah boleh mohon aset dirampas dikembalikan, kata peguam

Barangan mewah Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor yang dianggarkan bernilai RM900 bilion hingga RM1.1 bilion dirampas polis tahun lalu.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor boleh memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk mengembalikan harta boleh alih yang dirampas polis tahun lalu jika mereka dapat buktikan ia diperoleh secara halal, kata peguam.

Rabinder Singh berkata, pihak ke-3 yang ada kepentingan dalam aset tersebut juga boleh memohon sekiranya harta itu didapati secara halal.

“Pasangan tersebut mesti buktikan aset yang pernah ada dalam tangan mereka tidak diperoleh melalui kegiatan haram,” katanya kepada FMT.

Katanya, pasangan itu dan pihak berkepentingan lain mempunyai tempoh sebulan untuk memberi maklum balas selepas kerajaan mengemukakan tuntutan rampasan awam di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla)

Semalam, kerajaan dilaporkan mengemukakan saman terhadap pasangan tersebut dan beberapa individu lagi berkaitan rampasan barang kemas, wang tunai, beg tangan dan kenderaan mewah yang dipercayai dibeli dengan wang 1MDB.

Ia dibuat selepas 2 notis usul dan afidavit sokongan dikemukakan di Mahkamah Tinggi pada Selasa untuk merampas barang-barang bernilai RM711 juta daripada individu terbabit.

Notis usul pertama adalah untuk merampas harta di Lembah Klang, wang tunai (termasuk matawang asing), barang kemas, beg tangan, jam dan cermin mata gelap yang dikatakan bernilai RM680 juta.

Notis usul kedua adalah untuk merampas barang bernilai RM31 juta, termasuk 27 kereta mewah, wang tunai (termasuk matawang asing) dan lebih banyak jam serta bag, juga untuk bekukan 29 akaun bank.

Pada 16 Mei tahun lalu, polis melancarkan serbuan di beberapa kediaman dan pejabat yang dikaitkan dengan Najib.

Bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Amar Singh berkata ketika itu nilai terkumpul barang-barang rampasan itu dianggarkan antara RM900 bilion hingga RM1.1 bilion, membuatkannya sebagai rampasan terbesar dalam sejarah negara ini.

Menurut Amar Singh, 234 cermin mata gelap pelbagai jenama, termasuk Gucci, Versace dan Cartier dianggarkan bernilai RM374,000 sementara wang yang dirampas bernilai RM116.7 juta.

Umno membuat tuntutan ke atas wang sebanyak RM116.7 juta itu tetapi Mahkamah Tinggi menolaknya 2 bulan lalu.

Rabinder Singh, yang khusus dalam hal berkaitan Amla berkata, polis mempunyai 3 bulan maksimum untuk membekukan aset tersebut dan 9 bulan lagi untuk meletakkannya di bawah jagaan kerajaan.

“Dalam tempoh ini mereka boleh mengenakan pertuduhan jenayah terhadap Najib dan Rosmah atau memulangkan barang rampasan tersebut.

“Bagaimanapun, ini tidak dilakukan. Jadi kerajaan kini bergantung kepada Seksyen 56 Amla untuk merampas aset-aset berkenaan,” katanya.

Najib, dalam catatan Facebooknya berkata kerajaan Pakatan Harapan tidak menghormati undang-undang.

“Kata-kata mereka tidak selaras dengan tindakan mereka,” katanya, merujuk kepada tindakan kerajaan merampas aset tersebut melalui mahkamah.