Pembangkang juga masih terkial-kial dalam Malaysia baru, kata wakil PH, penganalisis

Anggota pembangkang digesa supaya bersikap lebih aktif dan matang bagi memeriksadan menjadikan dasar kerajaan lebih baik. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang ahli Parlimen PKR berkata, walaupun sebilangan anggota pembangkang lantang bersuara sejak kekalahan mereka dalam pilihan raya umum 9 Mei tahun lepas, ramai yang masih “belum betul-betul bersemangat dan terlibat aktif”.

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, mereka yang aktif di Dewan Rakyat termasuklah wakil Barisan Nasional (BN) Wee Ka Siong, Khairy Jamaluddin, Ismail Sabri Yaakob dan Ahmad Maslan; Che Abdullah Mat Nawi dan Awang Hashim daripada PAS dan Nancy Shukri mewakili GPS.

Secara keseluruhan kata beliau, anggota pembangkang tidak menyerlah.

“Ini mungkin disebabkan mereka sedang menyesuaikan diri dengan peranan baru itu selain kekurangan sumber,” katanya kepada FMT.

“Mereka yang tidak bercakap apa-apa pula mungkin sedang berfikir untuk menyertai kerajaan, sementara keadaan di luar Parlimen terlampau dipolitikkan.

Wong, yang merupakan anggota pembangkang yang lantang sebelum pilihan raya umum ke-14, menggesa kerajaan memberikan peruntukan yang sama kepada ahli Parlimen pembangkang seperti yang diberikan kepada wakil PH bagi membolehkan mereka memberikan perkhidmatan yang lebih baik di kawasan masing-masing.

Katanya, pada era Malaysia baru, PH tidak harus meneruskan “sistem tidak adil” yang diamalkan oleh kerajaan sebelum ini yang menyokong wakil kerajaan, tetapi menghukum wakil pembangkang.

“Pada asasnya saya berminat dengan reformasi sistem dan banyak reformasi institusi yang perlu kita lakukan.

“Saya berada di sini bukan hendak membalas dendam terhadap Umno-BN atas cara mereka menganiayai kami sebelum ini,” katanya.

Beliau meminta anggota pembangkang supaya memainkan peranan lebih aktif dalam perkara berkaitan dasar dan akauntibiliti kementerian.

Katanya, mereka harus menyertai jawatankuasa pilihan Parlimen yang baru dan mendapatkan lebih ramai penyelidik.

“Mereka harus memeriksa butiran fiskal dengan teliti semasa perbahasan belanjawan serta meneliti rang undang-undang kewangan,” kata beliau.

“Malah mereka perlu bersedia untuk Belanjawan 2020 bermula sekarang.”

Penganalisis dari Universiti Teknologi Malaysia Azmi Hassan berkata, pembangkang juga perlu diberikan gred 5/10 seperti diberikan Dr Mahathir kepada Kabinetnya.

Sebagai bekas anggota kerajaan katanya, mereka sepatutnya dapat memberikan kritikan lebih baik terhadap pentadbiran PH.

Bagaimanapun kata beliau, keadaan itu hanya berlaku beberapa kali.

“Pembangkang perlu mengkritik dasar berdasarkan fakta, bukan menggunakan retorik.

“Kita sebenarnya sedang menyaksikan pembangkang yang sama seperti sebelum pilihan raya umum ke-14, walaupun partinya berbeza.”

Beliau memberitahu FMT bahawa Kabinet bayangan pembangkang juga tidak memenuhi jangkaan.

Beliau merujuk isu berkait kedudukan fiskal dan dasar luar negara yang tidak menarik perhatian Kabinet bayangan.

“Jika kerajaan memperkenalkan dasar baru, Kabinet bayangan perlu memperkenalkan dasar balas bagi menjadikan dasar kerajaan lebih baik. Tetapi ini jarang berlaku,” katanya.

Beliau bersetuju bahawa Putrajaya harus menambah peruntukan wakil pembangkang, tetapi berkata, ia juga perlu menggalakkan maklum balas daripada rakyat dan ahli akademik sekiranya mereka mempunyai pandangan berbeza.

Penganalisis bebas Andrew Aeria berkata, walaupun pembangkang berjaya memenangi beberapa pilihan raya kecil baru-baru ini, ia tidak menambah nilai kepada amalan demokrasi dan budaya politik Malaysia.

Beliau juga berkata, Kabinet bayangan tidak banyak mencabar kekurangan dasar atau pelaksanaan dasar kerajaan.

“Pembangkang perlu lebih matang dan melihat peranan mereka lebih serius,” katanya.

“Pembangkang perlu kurangkan kempen kaum dan agama, sebaliknya perlu diketengahkan hujah yang lebih bermutu bagi menunjukkan wawasan kenegaraaan mereka yang lebih inklusif dan majmuk.

Aeria yang sebelum ini bertugas di Universiti Malaysia Sarawak juga mencadangkan supaya perbahasan Parlimen dibuat berdasarkan penyelidikan dan ucapan matang yang menangani isu dasar.

Beliau berkata, ia harus dilakukan dengan cara yang bukan sahaja mendedahkan kelemahan kerajaan, tetapi turut meningkatkan kesedaran rakyat mengenai isu berkaitan.

Beliau seterusnya mencadangkan supaya kerajaan menyediakan peruntukan bagi sebuah pejabat penyelidikan di Dewan Rakyat yang boleh diakses dengan bebas oleh semua ahli Parlimen.