Ringgit terus menyusut berbanding dolar AS

Peniaga berkata, kemerosotan harga minyak akan memberi lebih banyak tekanan kepada prestasi ringgit dalam tempoh terdekat.

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan pelabur terus bimbang mengenai prospek pasaran kewangan tempatan dan global, kata peniaga.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.150/153 berbanding dolar AS daripada 4.147/150 semasa ditutup semalam.

Peniaga berkata, harga minyak yang rendah mempengaruhi sentimen pasaran terhadap unit tempatan.

“Kemerosotan harga minyak akan memberi lebih banyak tekanan kepada prestasi ringgit dalam tempoh terdekat,” katanya.

Penanda aras antarabangsa niaga hadapan minyak mentah Brent merosot 0.70% kepada AS$69.88 setong, manakala niaga hadapan minyak mentah US West Texas Intermediate (WTI) susut 0.77% kepada AS$61.64 setong.

Dolar AS terus mengukuh berikutan pelabur menerima prospek perjanjian perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Bagaimanapun, rundingan perdagangan AS-China terganggu selepas White House mengancam untuk menaikkan tarif ke atas barangan China.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan diniagakan tidak berubah berbanding dolar Singapura kepada 3.0452/0485 daripada 3.0452/0479 semalam, bagaimanapun naik berbanding pound British kepada 5.3996/4055 daripada 5.4027/4075.

Mata wang tempatan susut berbanding yen kepada 3.7748/7785 daripada 3.7700/7738 dan merosot berbanding euro kepada 4.6447/6501 daripada 4.6455/6501.