Saksi: Polis tangguh umum penemuan kem Wang Kelian atas permintaan Thailand

Aliza Shah Muhammad Shah.

PUTRAJAYA: Polis menangguhkan pengumuman penemuan kem penyeludupan manusia dan kubur beramai-ramai di Wang Kelian, Perlis yang diketahui sejak Januari 2015 atas permintaan pihak berkuasa Thailand, kata seorang saksi kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja hari ini.

Bekas wartawan New Straits Times, Aliza Shah Muhammad Shah mendakwa dia dimaklumkan tentang perkara itu oleh ketua polis negara ketika itu, Khalid Abu Bakar pada 10 Oktober 2015 dalam satu acara di Lembah Klang.

“Khalid meminta saya tidak buat rakaman suara,” kata saksi ke-24 di hari ke-8 pendengaran awam hari ini, di depan 7 panel yang dipengerusikan bekas ketua hakim negara, Arifin Zakaria.

Aliza berkata selepas perakam suara dimatikan, Khalid mengesahkan polis menemui kem tersebut lebih awal tetapi hanya mengeluarkan kenyataan mengenai penemuan kem dan kubur itu pada Mei 2015 atas permintaan pihak berkuasa Thailand.

“Thailand minta tolong biar mereka dedahkan dulu. Kemudian, Khalid beritahu saya jangan laporkan kerana khuatir pihak Thailand akan marah,” katanya.

Menurut Aliza, Khalid tidak menjawab pertanyaan melalui aplikasi WhatsApp kerana tidak mahu jawapannya disebarkan.

Sebagai langkah terakhir, Aliza kemudian bertemu menteri dalam negeri ketika itu, Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen untuk mendapatkan maklumat, sebelum menerbitkan laporan eksklusif mengenai penemuan kem dan kubur itu pada 20 Disember 2017.

“Kami kongsikan maklumat yang kami terima. Pada ketika itu, Zahid dengar dengan jelas apa yang kami terangkan dan janji akan melihat isu ini hingga ke akar umbi,” katanya.

Disebabkan laporan eksklusif itu, Majlis Anti Pemerdagangan Orang (Mapo) yang sebelum itu sudah berjanji untuk ditemubual membatalkan temujanji tanpa memberikan sebab.

Pada 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 147 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, di sempadan Malaysia-Thailand.

RCI itu ditubuhkan Kementerian Dalam Negeri untuk menyiasat penemuan kubur beramai-ramai dan kem penyeludupan manusia di Wang Kelian pada 2015.