Setahun kemudian, Najib mengingat gangguan semasa sahur

Bekas perdana menteri Najib Razak dengan ibunya Rahah Mohd Noah. Polis menyerbu rumah beliau dan ibunya pada September tahun lepas.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak berkata hari ini bahawa beliau akan terus tabah menghadapi keadaan yang disifatkannya sebagai usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghapuskan beliau menggunakan jalan yang tiada nilai kemanusiaan.

“Kerajaan PH tidak henti mencari jalan menghapuskan saya. Tidak semudah itu. Rakyat boleh buat pertimbangan (dengan) membaca Facebook dan media sosial saya yang lain.

“Saya balas dengan fakta dan pengalaman,” katanya di laman Facebook, sewaktu negara menyambut ulang tahun pertama tumbangnya kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 9 Mei tahun lepas.

Najib berkata, beliau mengingat hari-hari awal berikutan kekalahan kerajaan pimpinannya itu apabila polis membuat serbuan ke atas rumahnya pada bulan Ramadan.

“Berlarutan hingga sahur mereka ganggu rumah saya. Di rumah bonda juga. (Ia merupakan) detik bermulanya petanda tiada nilai kemanusiaan kerajaan PH hari ini,” kata Najib yang kini berdepan lebih 40 pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah berkait skandal 1MDB.

Najib, yang kini berkempen mencabar pemimpin PH dengan menggunakan slogan “Bossku” berkata, beliau akan terus bercakap dan menyoal kerajaan PH.

Polis dan pegawai pencegahan rasuah mula menyerbu beberapa buah rumah yang dikaitkan dengan Najib seminggu selepas pilihan raya 9 Mei.

Mereka merampas wang tunai beberapa negara, selain barang mewah termasuk barang kemas, beg tangan dan jam tangan.

Polis menganggarkan nilai keseluruhan rampasan termasuk wang tunai bernilai hampir RM1 bilion.