SPRM reman pegawai kanan DBKL, 4 individu disyaki rasuah RM200,000

Pegawai kanan DBKL itu disyaki menerima wang berjumlah RM200,000 daripada kontraktor sebagai balasan memberikan kerja penambahbaikan infrastruktur di bawah seliaannya.

PUTRAJAYA: Seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) direman 5 hari bersama 4 lagi orang awam bermula hari ini bagi membantu siasatan kes menerima dan memberi wang rasuah bernilai RM200,000.

Menurut sumber, kelima-lima individu yang berumur antara 41 tahun dan 57 tahun itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sebuah restoran di Kuala Lumpur antara pukul 12 dan 12.30 tengah malam tadi.

Perintah reman sehingga 13 Mei itu dikeluarkan majistret Shah Wira Abdul Halim selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini hari ini.

Berdasarkan siasatan awal, menurut sumber SPRM pegawai kanan DBKL itu menerima wang berjumlah RM200,000 daripada beberapa kontraktor sebagai balasan memberikan kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur di bawah seliaannya.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan penahanan mereka.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009, katanya.