Suara minoriti lebih menonjol selepas PH tadbir negara, kata penganalisis

Suara minoriti lebih menonjol selepas PH tadbir negara, kata penganalisis

Kamarul Zaman Yusoff berkata peranan golongan minoriti dan NGO semakin aktif dalam menyuarakan tuntutan mereka.

Golongan minoriti dan NGO dilihat semakin aktif menyuarakan tuntutan mereka dalam tempoh setahun PH mentadbir negara.
PETALING JAYA:
Setahun selepas Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, peranan rakyat dilihat masih rendah dalam usaha menyuburkan demokrasi, terutama dalam menyuarakan kemahuan masing-masing, kata penganalisis politik.

Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia berkata, sejak PH menang pilihan raya umum 9 Mei tahun lalu, suara golongan majoriti semakin berkurangan.

Sebaliknya, kata Kamarul, peranan golongan minoriti dan badan bukan kerajaan (NGO) pula dilihat makin aktif dalam menyuarakan tuntutan mereka.

“Masalah yang ada di negara kita ialah golongan minoriti lebih aktif dengan NGO dan (mereka) lebih mendapat tempat dalam media, manakala golongan majoriti pula senyap,” katanya kepada FMT.

Beliau ditanya mengenai peranan rakyat dalam usaha menyuburkan demokrasi selepas setahun PH mengambil alih Putrajaya.

Katanya, rakyat perlu memastikan kerajaan bertindak selaras dengan kemahuan mereka, sekaligus memenuhi segala janji dalam manifesto semasa kempen pilihan raya.

Kamarul Zaman Yusoff.

Menurutnya, golongan majoriti perlu digerakkan ke arah penglibatan politik yang lebih aktif tanpa melibatkan tokoh politik.

“Golongan cendekiawan patut ambil inisiatif ini,” katanya.

Perkara itu pernah dihujahkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika beliau berucap di University of Santo Tomas pada 2012. Mahathir berkata demokrasi sesebuah negara hadir bersama tanggungjawab rakyatnya.

“Apabila orang ramai hanya memikirkan mengenai kebebasan dalam demokrasi tetapi tidak mengetahui tanggungjawab yang hadir bersamanya, demokrasi tidak akan memberi kebaikan seperti dijanjikan.

“Sebaliknya, ia akan mewujudkan ketidakstabilan yang akan menghalang kemajuan untuk memberikan hak dan kebebasan kepada orang ramai sebagaimana yang dijanjikan demokrasi,” kata Mahathir ketika itu.

Mahathir juga mengulas perkara yang sama beberapa tahun lalu. Katanya, rakyat Malaysia tidak suka akan kekacauan dan masalah, namun mereka memilih untuk tidak berbuat apa-apa, apatah lagi mengubah keadaan.

“Malangnya dan hairannya, rakyat tidak berbuat apa-apa. Jika anda merasakan anda mempunyai tanggungjawab kepada negara, anda perlu lakukan sesuatu. Suarakan pandangan anda.

“Untuk lalukan ini, kita ada akhbar dan media. Tetapi kadang kala ianya disekat dan ditapis. Jadi anda perlu mencari saluran. Media sosial misalnya. Jika itu juga tidak boleh, anda boleh buat petisyen,” kata Mahathir semasa majlis pelancaran buku “Apa Habaq Orang Muda” pada 2016.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.