Tiada reformasi besar di Kementerian Sumber Manusia, kata kesatuan majikan, pekerja

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran.

PETALING JAYA: Kesatuan yang terlibat dalam perbincangan bersama Kementerian Sumber Manusia merangka hala tuju dan menambah baik tahap kebajikan pekerja dan majikan di seluruh negara tidak melihat reformasi besar-besaran dilakukan M Kulasegaran sejak memegang jawatan menteri sumber manusia.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdul Halim Mansor berkata, walaupun hubungan antara kesatuan dan kementerian bertambah baik menerusi perbincangan dilakukan, namun hasilnya masih belum kelihatan.

“Saya rasa kalau reformasi dalam konteks ikut manifesto, Kulasegaran masih belum capai apa-apa. Saya lihat hal ini dalam konteks pekerja, perkara positif masih belum ada kerana tidak nampak apa yang dilakukannya sejak 9 Mei 2018 hingga 9 Mei tahun ini,” katanya kepada FMT.

Abdul Halim berkata, antara perkara yang masih belum berjaya diselesaikan Kulasegaran seperti terkandung dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH) sebelum berjaya menawan Putrajaya adalah pengurangkan jumlah pekerja asing.

Abdul Halim tidak melihat usaha-usaha khusus dan serius dilakukan Kulasegaran dalam mengurangkan jumlah pekerja asing, sebaliknya pertambahan pengambilan pekerja asing terus dilakukan pihak majikan dengan alasan kekurangan pekerja tempatan yang berminat bekerja.

“Sebab itu matlamat mahu kurangkan pekerja asing tidak boleh dijadikan slogan semata-mata kerana persetujuan majikan untuk mengurangkan pekerja asing tidak menjadi objektif tepat. Kerajaan dahulu dan sekarang mempunyai sikap sama, iaitu tidak tegas.

Presiden MTUC, Abdul Halim Mansor. (Gambar Facebook)

“Persoalannya berapakah jumlah pekerja asing yang masuk ke dalam negara dan berapakah pula yang kembali semula ke negara asal. Adakah pengambilan pekerja asing ini memang disebabkan satu sebab iaitu keperluan atau ada sebab lain,” katanya.

Banyak kajian, kurang keputusan

Mengulas hasrat Kulasegaran mahu meminda beberapa akta membabitkan pekerja seperti Akta Kesatuan Sekerja 1959, Akta Perhubungan Perusahaan 1967, Akta Kerja 1955, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991, Abdul Halim berkata pindaan yang mahu dilakukan itu terlalu luas.

“Kalau kita lihat akta-akta ini, hampir kesemuanya dipinda sewaktu negara masih baru Merdeka dan masih menggambarkan suasana yang wujud pada zaman itu.

“Selepas itu ini tidak dikaji semula secara keseluruhan, sebaliknya dibuat pindaan ke atas beberapa bahagian mengikut keperluan sahaja,” katanya.

Tambah Abdul Halim, perbincangan antara kesatuan sekerja dengan kementerian membabitkan isu seperti tuntutan gaji minimum dan keperluan mewajibkan kenaikan tahunan masih belum mencapai sebarang kata putus.

“Saya boleh kata hasil dicapai longgar. Kita tidak banyak buat keputusan sebaliknya banyak kajian teknikal dilaksanakan, maka banyak jawatankuasa dibentuk yang masih belum nampak hasilnya.

“Tuntutan gaji minimum dan kenaikan tahunan masih belum lagi dipinda dalam Akta Kerja. Ini tidak diambil serius oleh kementerian. Ketika ini, kita lihat apabila paras gaji minimum dinaikkan, maka syarikat mengeluh terpaksa bayar gaji tinggi.

“Akta-akta ini harus menjadi pelindungan kepada pekerja, bukannya meminda dengan terlalu kerap atau membiarkan akta ini terperap tanpa pindaan sejak sekian lama. Hasrat Kulasegaran mahu memenangi hati pekerja itu positif, tetapi usaha menjadikan pekerja hidup senang masih belum lagi,” katanya.

Lebih terbuka

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan berpuas hati dengan cara Kulasegaran mengendalikan Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) yang sehingga kini sudah mengadakan 4 kali pertemuan, melebihi keperluan sepanjang tahun ini.

Shamsuddin Bardan. (Gambar Bernama)

“Untuk tahun ini sudah ada 4 mesyuarat walaupun dalam perlembagaan majlis ini hanya perlu 2 kali setahun, 4 kali ini sesuatu yang diluar jangkaan kita. Kita gembira dengan mesyuarat berkenaan yang meletakkan majlis itu di tahap sepatutnya,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Shamsuddin, sepanjang setahun pentadbiran PH masih terdapat banyak perkara yang perlu diperbaiki.

Bagi beliau, Kulasegaran lebih mementingkan hak dan kebajikan pekerja berbanding kebajikan majikan yang secara bersama-sama membangunkan ekonomi negara.

“Secara jujurnya, dia lebih memihak kepada pekerja kerana banyak isu dibangkitkan berkaitan hak pekerja. Selain hak pekerja, menteri juga perlu bangkitkan mengenai tanggungjawab pekerja kepada majikan, bagi memastikan majikan juga terbela,” katanya.

Jelasnya, walaupun ruang perbincangan di antara menteri dan kesatuan lebih terbuka, namun masih terdapat perkara yang diputuskan kementerian tanpa perbincangan dan persetujuan kesatuan majikan.

“Ada perkara yang kita tidak setuju dengan cara menteri tangani isu seperti gaji minimum. Gaji minimum RM1,050 dan RM1,000 terus diwartakan untuk Semenanjung dan Sabah & Sarawak selepas kementerian berbincang dengan Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN).

“Ia dibuat tanpa perbincangan lanjut dengan kesatuan. Ia tidak seharusnya berlaku, sebaliknya kementerian perlu lebih terbuka. Ia setakat ambil nota mengenai luahan kita, namun pandangan itu tidak dibawa sewaktu polisi diketengahkan,” katanya.

Menurut Shamuddin, perbincangan antara kesatuan sekerja dengan majikan perlu dilakukan sebelum kementerian mengambil sebarang keputusan kerana negara sudah meratifikasi konvensyen tripartisme yang memerlukan pandangan kesatuan diambil kira sebelum keputusan dibuat bagi menjaga kepentingan pekerja dan juga majikan.

Terdahulu, dalam sidang media khas kementeriannya dan sewaktu diminta mengulas janji manifesto PH untuk mengurangkan kebergantungan pekerja asing, Kulasegaran mengakui janji berkenaan sukar dilaksanakan.

Menurut Kulasegaran, terdapat permintaan luar biasa terhadap pekerja asing memandangkan wujud kekurangan pekerja tempatan bagi mengisi kekosongan pekerjaan yang ada.

Dalam pada itu katanya, kementerian juga kini dalam perancangan untuk meminda Akta Kerja 1955 bagi memberi perlindungan lebih baik kepada pembantu rumah berikutan peningkatan isu penderaan dan penindasan membabitkan pembantu rumah.