Bapa simbah air panas selepas anak minta pampasan insurans

Seorang lelaki ditahan polis selepas menyimbah air panas ke atas anak lelakinya (kanan) selepas bertengkar mengenai pembayaran insurans.

GEORGE TOWN: Polis menahan seorang penjual udang berusia 66 tahun di sebuah pasar, di sini yang didakwa menyimbah anak lelakinya dengan air panas dalam pertengkaran berhubung pembayaran insurans.

Dalam insiden yang berlaku di sebuah pangsapuri di Bukit Gelugor pada jam 6.30 petang Rabu, anak kepada lelaki terbabit yang berusia 35 tahun menuntut bahagiannya sebanyak RM30,000 daripada pelan insurans dan simpanan ibunya yang meninggal dunia pada 2005.

Bagaimanapun, bapa terbabit menolak permintaan anaknya dan menyimbahnya dengan air panas dari termos, menyebabkan anaknya mengalami luka melecur di leher dan dada.

Anaknya yang membuat laporan polis berhubung kejadian itu, memberitahu polis sebelum kematian ibunya, mendiang membeli pelan insurans dan simpanan untuk keluarga, termasuk adik-beradiknya.

Dia mendakwa bapanya membahagikan pembayaran sama rata dalam kalangan adik-beradiknya tetapi enggan memberikan bahagiannya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Che Zaimani Che Awang berkata, ketika disoal siasat, bapa tersebut mengaku mencederakan anaknya yang mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Beliau berkata lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis semalam sementara menunggu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.