Bekas penyanyi rap AS bakal didakwa biayai kempen Obama, 1MDB

Bekas bintang rap, Pras Michel. (Gambar Bloomberg)

NEW YORK: Pendakwa raya persekutuan dijangka mendakwa bekas bintang rap, Pras Michel hari ini kerana melanggar peraturan pembiayaan kempen yang dikaitkan dengan kempen pilihan raya Presiden Barack Obama pada 2012, menurut 2 individu yang memberi taklimat mengenai perkara itu.

Michel akan dituduh di Washington kerana menyumbang dana kepada organisasi pro-Obama tanpa mendedahkan asalnya – terutamannya dari Low Taek Jho, yang dituduh menjadi dalang pengalihan wang tunai besar-besaran dari dana 1MDB – kata salah seorang daripada mereka. Sekurang-kurangnya seorang lagi individu boleh didakwa berkaitan perkara tersebut, kata individu itu.

Barry Pollack, peguam kepada Michel, tidak bertindak balas dengan segera apabila diminta memberi komen berhubung perkara itu. Wakil Jabatan Kehakiman (DoJ) juga enggan mengulas lanjut.

Tuduhan tersebut, seperti yang dijelaskan, adalah hasil siasatan DoJ yang meluas terhadap penipuan dan rasuah di 1MDB, dana kekayaan yang bertujuan mempromosikan pembangunan ekonomi di Malaysia. Ia sebaliknya digunakan untuk tujuan haram oleh Low, penasihat kepada bekas menteri perdana menteri, Najib Razak, kata pendakwa raya AS.

“Low tidak pernah membuat apa-apa sumbangan kempen secara langsung atau tidak langsung di Amerika Syarikat,” menurut jurucakapnya.

Low, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, didakwa oleh pendakwa di New York, yang juga menyiasat Goldman Sachs Group Inc, bank pelaburan yang membantu meningkatkan lebih AS$6 bilion untuk dana itu.