Hentikan pembalakan atau kami kelaparan, Orang Asli beritahu Putrajaya

Penduduk Orang Asli yang mata pencariannya bergantung kepada hutan membuat bantahan terhadap pembalakan di kawasan mereka.

PETALING JAYA: Seorang aktivis Orang Asli menggesa kerajaan mengeluarkan moratorium segera bagi menghentikan pembalakan di semua kampung mereka, mengatakan ramai komuniti itu berdepan risiko kelaparan.

Tijah Yok Chapil berkata terdapat 853 kampung Orang Asli di Semenanjung yang bergantung kepada hutan sebagai mata pencarian mereka.

“Kami faham kerajaan Pakatan Harapan (PH) sedang berusaha melakukan banyak perkara untuk kami berbanding Barisan Nasional, tetapi pada masa itu mereka mewartakan penempatan kami, tidak akan ada yang tersisa.

“Apa gunanya penwartaan pada waktu itu?” katanya kepada FMT.

Tijah bertindak balas terhadap laporan mengenai tahap pemakanan kurang nutrisi dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli di Pos Kemar, Perak kerana kekurangan makanan.

Orang Asli di sana juga didakwa hanya tinggal beberapa kerat sahaja di hutan kerana penebangan hutan yang berleluasa.

Tijah Yok Chapil.

Tijah berkata dalam setiap 853 penduduk kampung, hanya beberapa orang sahaja kerja di bandar, sementara yang lain bergantung kepada hutan untuk memperoleh pendapatan dengan menjual tebu, herba, buluh dan ulaman.

Bagaimanapun, beliau berkata kebanyakan penduduk mengatakan mereka sukar untuk berkebun dan memburu sekarang akibat pembersihan tanah.

“Pembalakan mencemarkan sumber air kami. Penduduk kampung bergantung kepada sungai untuk air.

“Bantu kami pelihara cara hidup kami,” katanya, sambil menambah ia mudah bagi kerajaan mengeluarkan moratorium kerana ia mempunyai senarai semua kampung.

“Apabila moratorium itu dikeluarkan, ketua-ketua kampung dapat memaklumkan kepada kerajaan di peringkat daerah jika pembersihan tanah di kawasan pemburuan biasa mereka masih berlaku.”

Ikrar untuk memperbaiki kehidupan Orang Asli adalah salah 1 janji oleh PH dalam manifesto pilihan rayanya menjelang pilihan raya umum tahun lalu.