Kerajaan Kedah bersihkan tempat buangan sisa plastik, elektronik

SUNGAI PETANI: Kerajaan Kedah menghantar jentera pengorek dan lori untuk membersihkan tempat pembuangan haram di Pinang Tunggal, susulan penemuan bertan-tan sisa plastik di situ.

FMT melaporkan kawasan seluas 16ha berdekatan sebuah bukit di Pinang Tunggal menjadi tempat pembuangan sisa plastik dan elektronik dari serata dunia dan dibakar.

Beberapa orang penduduk, yang mengadu tentang udara berbau “PVC dan wayar terbakar”, menemui tempat itu minggu lepas dan membuat aduan kepada kerajaan negeri.

Exco Alam Sekitar, Simon Ooi Tze Min berkata kerajaan mengarahkan pemilik tanah supaya memagari kawasan itu bagi menghalang lori masuk dan membuang sisa.

Beliau berkata Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) membantu membersihkan kawasan itu sepanjang 3 hari lalu. Kos pembersihan akan ditanggung oleh pemilik tanah.

“SWCorp juga akan memantau kawasan itu sehingga pemilik tanah mendirikan pagar. Selepas itu, hanya petani yang perlu melalui kawasan itu ke tanah masing-masing akan dibenarkan masuk,” katanya kepada FMT.

Exco Kerajaan Tempatan, Tan Kok Yew berkata kerajaan negeri akan menubuhkan satu pasukan petugas untuk mencari cara mengekang pembuangan haram dan menghentikan kilang-kilang kitar semula haram.

Beliau berkata kerajaan negeri secara aktif membanteras pembuangan haram dengan mendakwa pelaku di mahkamah.

Dalam kes terbaru di Pinang Tunggal, Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) sedang mempertimbangkan tindakan terhadap pemilik tanah.

Ooi juga berkata kerajaan negeri mengarahkan beberapa kilang yang beroperasi secara haram ditutup.

Beliau berkata pihak berkuasa tempatan juga menerima aduan daripada penduduk tentang kilang-kilang yang masih beroperasi walaupun sudah ditutup.

“Kami akan jalankan satu lagi operasi dan kali ini, kami akan bawa orang-orang dari syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional untuk memotong bekalan elektrik,” katanya.

Mengenai aduan pencemaran udara, Ooi berkata Jabatan Alam Sekitar sudah diarah menjalankan pemeriksaan kualiti udara di kawasan selatan Sungai Petani.