Rosmah kekal pengakuan tak bersalah dalam kes projek solar

Rosmah Mansor

KUALA LUMPUR: Isteri bekas perdana menteri Rosmah Mansor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan pindaan berhubung dakwaan menerima rasuah RM5 juta daripada Jepak Holdings Sdn Bhd, sebagai upah mendapatkan projek sistem solar, 3 tahun lepas.

Rosmah, 68, yang memakai jubah dan selendang sedondon berwarna putih membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pindaan berkenaan dibacakan semula ke atasnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan ingin mengemukakan pertuduhan pindaan hari ini.

“Pertuduhan pindaan ini dibuat untuk meminda alamat tempat kesalahan,” katanya semasa sebutan semula kes itu, hari ini.

Bagi pertuduhan pindaan, Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya pada 20 Disember 2016.

Manakala bagi pertuduhan yang dibacakan terhadap Rosmah pada 10 April lepas, menyatakan kesalahan itu didakwa dilakukan di No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta pada 20 Disember 2016.

Mengikut pertuduhan, Rosmah didakwa menerima suapan RM5 juta daripada Saidi Abang Samsudin, 60, melalui Rizal Mansor, 45, sebagai upah kerana membantu Jepak Holdings Sdn Bhd mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang boleh dihukum bawah Subseksyen 24(1) akta sama.

Sabitan kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Dalam prosiding itu juga, Dusuki memberitahu mahkamah pihak pendakwaan juga mengemukakan permohonan untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.

“Pada 28 Mei ini ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi dan pada tarikh sama, mahkamah akan menetapkan tarikh untuk mendengar permohonan bagi memindahkan kes berkenaan,” katanya.

Hakim Azura kemudiannya menetapkan 25 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi mengetahui maklumat terkini berhubung kes terbabit.

Dalam prosiding itu, Rosmah diwakili Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mengetuai pasukan pembelaan.