Singapura sahkan kes cacar monyet libatkan warga asing

Warga Nigeria yang disahkan terkena jangkitan cacar monyet kini ditempatkan di wad pengasingan di NCID dan keadaannya stabil. (Gambar Facebook)

SINGAPURA: Singapura hari ini mengesahkan 1 kes jangkitan cacar monyet melibatkan warga asing di republik itu.

Kementerian Kesihatan (MOH) berkata pesakit itu ialah warga Nigeria berusia 38 tahun yang tiba di Singapura pada 28 April 2019, dan diuji positif cacar monyet pada 8 Mei.

Beliau kini ditempatkan di wad pengasingan di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID), dan keadaannya stabil, kata kementerian menerusi laman sesawangnya.

MOH berkata pesakit melaporkan, sebelum tiba di Singapura, beliau menghadiri majlis perkahwinan di Nigeria dan mungkin memakan daging hidupan liar yang mungkin menjadi punca jangkitan virus cacar monyet.

Kementerian berkata pesakit tinggal di sebuah hotel di 21 Lorong 8 Geylang dari 28 April dan menghadiri 1 bengkel di 3 Church Street pada 29 dan 30 April.

Berdasarkan siasatan MOH dan pengesanan setakat ini, 23 orang dikenal pasti sebagai mereka yang berhubung rapat dengan pesakit.

Mereka termasuk 18 peserta dan pelatih yang menghadiri bengkel yang sama, seorang kakitangan di tempat bengkel dan 4 kakitangan hotel yang mempunyai hubungan rapat dengan pesakit, kata kementerian.

MOH berkata mereka yang berhubung rapat dengan pesakit dinilai oleh NCID dan diberikan vaksinasi, yang boleh mencegah atau mengurangkan keterukan gejala penyakit itu.

Sebagai langkah berjaga-jaga, mereka akan dikuarantin dan dipantau selama 21 hari dari tarikh terdedah kepada pesakit, kata kementerian.