65 lemas kapal tenggelam di perairan Tunisia

Menurut UNHCR, kejadian terbaru melibatkan kehilangan nyawa tertinggi selepas insiden yang mengorbankan 117 nyawa pada pertengahan Januari lepas.

GENEVA: Kira-kira 65 orang lemas apabila kapal mreka tenggelam kira-kira 45 batu nautika dari pantai Tunisia awal Jumaat dalam kemalangan pada buruk di Mediterranean, kata agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu, UNHCR dalam satu kenyataan.

“Ini merupakan satu peringatan yang tragis dan malang tentang risiko dihadapi mereka yang cuba menyeberangi laut Mediterranean, kata duta khas UNHCR bagi Mediterranean, Vincent Cochetel.

Agensi itu berkata, 16 orang berjaya diselamatkan dan dibawa ke pantai Zarzis oleh tentera laut Tunisia, lapor agensi berita Xinhua.

Terdahulu media Tunisia melaporkan sekurang-kurangnya 70 pendatang haram lemas dan 16 diselamatkan dari kapal yang tenggelam itu.

Menurut agensi berita rasmi Tunisia, mangsa berasal dari Afrika sub-Sahara yang belayar dari Libya menuju pantai Itali.

Seorang mangsa dipindahkan serta-merta ke hospital untuk rawatan perubatan, sementara yang lain menunggu kebenaran untuk mendarat, kata PBB.

Mangsa yang selamat berkata, mereka meninggalkan Zuwara, kira-kira 120 km di barat Tripoli pada Khamis petang. Kapal mereka berdepan masalah tidak lama selepas itu berikutan ombak kuat.

UNHCR berkata, kejadian terbaru melibatkan kehilangan nyawa tertinggi selepas insiden yang mengorbankan 117 nyawa pada pertengahan Januari lepas.

Agensi itu berkata, 164 mati dalam perjalanan antara Libya dengan Eropah dalam 4 bulan pertama 2019, kurang berbanding tahun sebelum itu. Bagaimanapun perjalanan berkenaan kini lebih berbahaya bagi mereka yang melakukannya.

Dalam tempoh 4 bulan tahun ini, seorang maut di Mediterranean tengah daripada setiap 3 orang yang tiba di pantai Eropah selepas meninggalkan Libya.

Tunisia yang terletak di sepanjang laut Mediterranean merupakan pintu masuk utama ke Eropah melalui saluran tidak sah.