Akaun Yapeim sudah diaudit, kata timbalan menteri

Fuziah Salleh berkata, kerajaan PH akan memastikan Yapeim telus dalam pentadbirannya dan dananya digunakan untuk memanfaatkan anak yatim.

KUANTAN: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, mengesahkan akaun Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) sudah diaudit firma audit terkemuka PricewaterhouseCoopers.

Bagaimanapun, ahli Parlimen Kuantan itu berkata terpulang kepada lembaga pengarah Yapeim untuk menentukan sama ada laporan audit itu akan didedahkan kepada umum atau tidak.

“Saya enggan mengulas bagaimana pentabiran terdahulu di bawah kerajaan lama menggunakan duit (Yapeim) kerana kita sudah melantik firma audit untuk melakukan tugasnya.

“Bagaimanapun, di bawah pentadbiran Pakatan Harapan, kita tekad, malah saya sendiri akan memastikan duit itu adalah untuk memanfaatkan anak yatim dan Yapeim telus dalam pentadbirannya,” katanya selepas menyampaikan sumbangan sempena Kembara Rahmah Nur Ramadan 2019 di surau Perumahan Rakyat Pak Mahat di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berita hari ini yang mendakwa dana Yapeim berjumlah RM1 juta untuk membantu anak yatim disalah guna bagi membayar yuran guaman pembantu bekas perdana menteri, Najib Razak pada 2017.

Najib menerusi Facebooknya menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya propaganda jahat untuk memburukkan imejnya sempena pilihan raya kecil Sandakan hari ini.