Boleh atau tidak penghidap asma berpuasa?

Setiap kali tiba bulan Ramadan, umat Islam diwajibkan untuk berpuasa selama sebulan.

Pun begitu, masih terdapat kelonggaran mengenainya bergantung kepada keadaan fizikal individu itu.

Bagaimana pula dengan individu yang menghidap asma?

Boleh atau tidak penghidap asma berpuasa?

Selamatkah penghidap asma berpuasa?

Menurut kajian yang dilakukan oleh jurnal ilmiah Annals of Allergy, Asthma, and Immunology, 90 peratus daripada penghidap asma yang berpuasa tidak melaporkan sebarang keluhan mahupun serangan asma ketika sedang berpuasa.

Jadi jawapannya adalah ya, selamat.

Namun begitu, ia masih bergantung kepada kondisi fizikal individu itu.

Sebaiknya, penghidap asma yang ingin berpuasa berhubung dengan doktor terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk berpuasa.

Bolehkah ventolin digunakan ketika sedang berpuasa?

Ventolin- ubat sedutan yang boleh membantu melegakan asma.

Ia berfungsi membuka dan mengembangkan saluran pernafasan anda yang kian sempit dan anda akan berasa lega dalam masa yang sangat singkat.

Cara menggunakan ubat ini dengan menyedutnya melalui mulut dan biarkan ia masuk sehingga saluran pernafasan anda.

Persoalannya, adakah ini akan membatalkan puasa anda?

Menurut pandangan ramai ahli ulama, ia tidak akan membatalkan puasa.

Ini kerana kandungan yang terdapat di dalam ubat sedutan itu hanya akan melalui saluran pernafasan sahaja.

Jika ia masuk ke dalam perut sekalipun, ia adalah sedikit. Oleh itu, ia tidak akan membatalkan puasa.

Jika masih mahu berpuasa, adakah terdapat sebarang tip?

Sentiasa bawa ubat sedutan anda ke mana-mana sahaja anda pergi.

Hindarkan diri anda daripada melakukan sebarang aktiviti fizikal yang berat seperti bersukan.

Hindarkan diri anda daripada terdedah kepada cuaca yang terlalu panas atau terlalu sejuk.

Banyakkan minum air pada waktu sahur dan ketika iftar.

Jika anda perasan simptom asma semakin teruk, segera dapatkan bantuan perubatan.

Kesimpulannya

Penghidap asma masih selamat untuk berpuasa semasa bulan Ramadan dari aspek perubatan.

Dari aspek agama pula, penggunaan ubat sedutan tidak akan membatalkan puasa.

Oleh itu, anda tidak perlu terlalu risau mengenainya.

Namun begitu, berhubung terlebih dahulu dengan doktor anda untuk mendapatkan lebih kepastian.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Kumpulan Hello Health tidak menyediakan nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]