DBP tidak tolak bukan-Melayu antara calon anugerah Sasterawan Negara

Ketua Pengarah DBP, Abang Sallehuddin Abang Shoekran berkata, keputusan dan pengumuman pemilihan Sasterawam Negara akan dibuat sama ada sebelum atau selepas Julai tahun ini. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak menolak kemungkinan beberapa nama, termasuk seorang novelis bukan-Melayu, penulis pro-Pakatan Harapan dan penulis yang diharamkan, merupakan antara calon Sasterawan Negara ke-14.

“Itu saya tak boleh sahkan, senarai calon itu, ada yang ada, ada yang tiada. Saya tidak menolak kemungkinan ada nama-nama tersebut,” kata Ketua Pengarahnya Abang Sallehuddin Abang Shoekran kepada FMT, hari ini.

Sallehuddin berkata demikian merujuk kepada pencalonan novelis Sarawak Jong Chian Lai, Che Shamsuddin Othman, Faizal Musa, Azmah Nordin dan Latif Mohidin untuk anugerah kesusasteraan tertinggi negara itu tahun ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa jumlah pencalonan untuk Anugerah Sasterawan Negara kali ini adalah lebih besar daripada biasa hampir mencecah 10 orang dan datang daripada pelbagai kaum.

“Jumlah calon kali ini agak besar, kurang 10, tetapi lebih daripada 5 dan daripada pelbagai kaum.

“Dari segi penilaian pemilihan, ia bergantung kepada beberapa faktor. Pertama kita lihat dari segi sumbangan karya kepada masyarakat. Kedua sejauh mana kesan karya serta penglibatan dalam gerakan bahasa dan persuratan.

“Ketiga ia akan dinilai oleh panel penilai dari segi pengiktirafan yang diterima dari dalam dan luar negara mengikut meritnya,” katanya.

Beliau berkata, penilaian calon dibuat mengikut kedudukan merit sebelum ia diserahkan kepada Menteri Pendidikan, Maszlee Malik selaku ketua panel penilai untuk dibawa menghadap bagi mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Walaupun pencalonannya dirahsiakan, namun penilaian dibuat secara telus, adil, sebaik mungkin berasaskan kriteria yag ditetapkan tanpa mengambil kira gender, Melayu atau bukan Melayu. Kita tidak melihat itu, kita nilai berdasarkan merit.

“Kita akan senaraikan semua calon yang diterima dan susun mengikut merit, daripada pilihan pertama sampai akhir,” katanya dengan memaklumkan bahawa panel ASN terdiri daripada 6 orang dan belum ada keputusan muktamad dibuat.

Katanya, keputusan dan pengumuman pemilihan Sasterawam Negara akan dibuat tahun ini, sama ada sebelum atau selepas bulan Julai.

Beliau berkata, pihaknya akan mencadangkan supaya nama-nama calon didedahkan kepada umum bagi menampakkan pemilihan yang telus.

“Kita akan kemukakan cadangan itu atas dasar kerajaan baru yang mahukan ketelusan. Jadi jawatankuasa pemilih akan datang akan maklumkan kepada masyarakat siapakah calon-calonnya. Tiada lagi rahsia. Sudah tentu ada baik dan buruknya, tetapi saya rasa lebih banyak kebaikan kalau kita buat begitu,” katanya.

FMT sebelum ini mendedahkan seorang novelis bukan-Melayu, seorang penulis pro-Pakatan Harapan dan seorang penulis yang diharamkan merupakan antara calon yang disebut-sebut untuk anugerah Sasterawan Negara kali ini.

Sumber memberitahu, DBP dikatakan telah menyenarai pendek 5 nama itu setelah beberapa bulan mengkajinya.

Menurut sumber lagi, panel pemilih yang diketuai ahli akademik terkenal, Salleh Yaapar telah mengemukakan pilihan mereka kepada menteri pendidikan, Maszlee yang perlu mendapatkan perkenan Agong.

Untuk rekod, kali terakhir Sasterawan Negara dinobatkan adalah pada 13 Oktober 2015 yang menyaksikan penulis kelahiran Kedah, Zurinah Hassan diumumkan sebagai penerimanya yang ke-13.