Mansuh sahaja Akta Hasutan, tak perlu ganti, kata peguam

Peguam Eric Paulsen berkata, Akta Hasutan adalah undang-undang yang lapuk, menekan dan merupakan sampah sejarah.

PETALING JAYA: Peguam menggesa supaya Akta Hasutan dimansuhkan sepenuhnya, tanpa perlu digantikan dengan undang-undang baru.

Wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) Eric Paulsen berkata, undang-undang itu sudah lapuk, menekan dan “merupakan sampah sejarah bersama-sama undang-undang era kolonial yang lain”.

“Ia simbol kehinaan bagi mana-mana negara merdeka yang terus mempunyai perundangan era kolonial seperti Akta Hasutan yang digunakan untuk menekan pejuang kebebasan dan hak sivil,” katanya dalam beberapa pesanan di Twitter semalam.

Paulsen berkata, walaupun kebebasan bersuara tidak mutlak, namun aras ambangnya juga seharusnya tinggi.

“Apa-apa sekatan mestilah benar-benar perlu, munasabah, sesuai dan diperuntukkan oleh undang-undang atas alasan yang sah,” katanya.

Paulsen memberi respons terhadap laporan yang memetik menteri undang-undang Liew Vui Keong berkata bahawa akta berkenaan dijangka dimansuhkan tahun ini berikutan keputusan Kabinet yang meluluskannya.

Selepas itu kata Liew, satu formula baru akan diperkenalkan bagi menggantikannya.

Dalam pada itu, penasihat Lawyers for Liberty (LFL), N Surendran berkata, pemansuhan tersebut telah tertangguh lama, dan ia juga (pemansuhan) merupakan antara janji manifesto Pakatan Harapan (PH).

N Surendran.

“Keputusan Kabinet hanya mengesahkan perkara itu dan ia tidak dapat dielakkan lagi. Ramai pemimpin PH dan juga orang lain menjadi mangsa Akta Hasutan di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN). Tidak masuk akal jika PH mengekalkan akta tersebut,” katanya.

Surendran yang selama ini berjuang bagi memansuhkan akta berkenaan juga percaya ia (Akta Hasutan) tidak perlu digantikan dengan undang-undang lain.

Katanya, hasutan sebagai satu kesalahan jenayah hendaklah dihapuskan daripada buku undang-undang di negara ini untuk selama-lamanya.

Fadiah Nadwa Fikri.

“Ia tidak demokratik dan berlawanan dengan kebebasan bersuara. Kebanyakan negara demokrasi telah pun menghapuskan undang-undang merosakan ini. Ada cukup undang-undang dalam Kanun Kesiksaan yang boleh menangani kenyataan yang mungkin menimbulkan khianat atau keresahan awam,” katanya.

Pegawai penyelidik undang-undang di Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme atau C4, Fadiah Nadwa Fikri berkata, Akta Hasutan tidak boleh dipertahankan sama sekali.

“Akta Hasutan mesti dimansuhkan. Tidak ada soalan lagi. Tetapi kerajaan perlu diingatkan bahawa mereka tidak terlepas daripada dikritik,” katanya.

Fadiah merakamkan kebimbangan berhubung langkah untuk menggubal satu formula baru, dan seperti Surendran, percaya sudah ada undang-undang yang mencukupi untuk menangani fitnah.

“Ada juga peruntukan yang menangani perbuatan mengapi-apikan ke arah keganasan. Perbuatan mengkritik kerajaan, biar betapa keras, tidak harus dijadikan satu jenayah. Inilah demokrasi sebenar,” katanya.