Pastikan polis tak jadi mangsa IPCMC, kata bekas KPN

N Surendran berkata, Parlimen tidak akan meluluskan undang-undang yang akan menyebabkan polis berdepan prosiding tidak adil.

PETALING JAYA: Bekas ketua polis negara, Musa Hassan mahu kerajaan memastikan pasukan polis tidak dijadikan mangsa selepas Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ditubuhkan.

Beliau yang pernah menjadi ketua polis negara dari 2006 hingga 2010, bimbang anggota polis yang dijatuhkan hukuman oleh IPCMC tidak boleh merayu di mahkamah.

“Ini akan bertentangan amalan keadilan asas,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, pihak berkuasa termasuk Ketua Polis Negara baru, Abdul Hamid Bador perlu menyelesaikan isu berbangkit sebelum IPCMC ditubuhkan.

Semalam, Hamid dilaporkan bersetuju dengan keputusan Kabinet menubuhkan suruhanjaya itu dengan syarat kerajaan perlu memberi jaminan ia tidak boleh menghakis kuasa polis.

Jabatan yang memantau perkara berkaitan polis di bawah Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) ketika ini akan diubah kepada IPCMC.

Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-rasuah Nasional (GIACC), Abu Kassim Mohamed dilaporkan berkata, perbincangan teknikal dengan polis mengenai beberapa penyelarasan kepada draf rang undang-undang penubuhan IPCMC akan diadakan.

Maklum balas juga akan diperolehi daripada agensi berkaitan sebelum draf RUU itu dibentangkan kepada Kabinet sebelum atau selepas Hari Raya Aidilfitri.

Bagaimanapun, N Surendran daripada Lawyers for Liberty berkata, anggota polis tidak akan dijadikan mangsa IPCMC.

“Parlimen tidak akan meluluskan undang-undang untuk menubuhkan sebuah badan yang menyebabkan polis berdepan prosiding tidak adil.

“Dalam apa juga keadaan, jika peruntukan IPCMC dalam sebarang cara bertentangan hak asasi anggota polis, keperlembagaannya boleh dicabar di mahkamah.”

Katanya, ia adalah satu kelegaan apabila polis akhirnya melakukan perkara betul dan tidak lagi membantah penubuhan IPCMC.

“Bantahan berlaku sebahagian besarnya kerana kerajaan Barisan Nasional tidak pernah mahu melihat pasukan polis bertanggungjawab terhadap tindakan mereka,” katanya sambil mendakwa sikap BN “meracuni” isu itu selama bertahun-tahun.

IPCMC pertama kali dicadangkan apabila Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri dari 2003 hingga 2009.

Bagaimanapun, ia tidak diteruskan selepas mendapat bantahan polis dan pihak lain.

Orang ramai menggesa kerajaan menghentikan kes kematian dalam tahanan polis dan menambah baik kebersihan dalam penjara yang sesak dengan banduan.

Surendran berkata, dengan adanya IPCMC, mangsa salah laku polis boleh mendapatkan keadilan dan ganti rugi daripada sebuah badan yang saksama.