Pemandu teksi tolak peraturan cermin gelap, anggap menteri kurang bijak

Persatuan pemandu teksi berkata keputusan kerajaan itu meletakkan tahap keselamatan pengguna kenderaan, termasuk pemandu teksi dalam bahaya dan boleh menimbulkan lebih banyak gejala tidak sihat.

PETALING JAYA: Persatuan pemandu teksi tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan berhubung peraturan baru cermin gelap bagi bahagian sisi penumpang dan belakang kenderaan dan menganggap keputusan Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook kurang bijak.

Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Shamsubahrin Ismail berkata, keputusan kerajaan ini meletakkan tahap keselamatan pengguna kenderaan, termasuk teksi dalam bahaya dan akan menimbulkan lebih banyak gejala tidak sihat.

“Saya bersetuju dengan pihak polis yang buat kenyataan awal mereka tidak dimaklumkan dan tidak bersetuju. Bagi saya, ia tidak bijak kerana mengundang banyak lagi gejala tidak sihat dan membuka ruang kepada banyak salah laku, antaranya rompakan terhadap pemandu teksi atau pengguna, termasuk Grab.

“Kita bimbang akan wujudkan kes rogol, cabul, pemandu dirompak, penumpang dicabul dan sebagainya, sekarang ini ada larangan cermin hitam pun macam-macam jenayah berlaku,” katanya kepada FMT.

Shamsubahrin berkata, pihaknya tidak akan menggelapkan cermin teksi walaupun kerajaan membenarkannya.

“Tetapi kalau pemandu teksi nak pasang cermin gelap dia kena mohon dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan, kena ikut syarat bayar RM5,000. Saya rasa pemandu tidak akan buat, kecuali pemandu itu ada niat nak merompak, nak cabul, ada niat jahat,” katanya.

Shamsubahrin Ismail.

Shamsubahrin turut mendakwa kerajaan terlalu tunduk kepada golongan kaya kerana membenarkan penggunaan cermin gelap.

“Cermin hitam bukan satu kepentingan. Bagi kita, kalau untuk orang sakit, menteri – itu cukuplah. Orang kaya, VVIP ini tak payah.

“Kenapa nak utamakan orang kaya? Buka untuk orang awam itu hanya alasan sebabnya nak bantu orang kaya sahaja, jadi dia guna alasan buka kepada semua.”

Semalam, Loke berkata peraturan baru cermin gelap bagi bahagian sisi penumpang dan belakang kenderaan dikekalkan walaupun dibantah pelbagai pihak, termasuk polis.

Susulan keputusan itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Azisman Alias berkata, pihaknya menghormati keputusan berkenaan.

Berkuatkuasa Rabu, penggunaan cermin gelap tanpa had atau gelap sepenuhnya dibenarkan pada cermin sisi kiri dan kanan penumpang serta cermin belakang kenderaan, berbanding kadar ketelusan cahaya tampak pada 30% sebelum ini.

Kamarudin Hussain.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia, Kamarudin Hussain menyifatkan keputusan Loke tidak mengendahkan bantahan awal polis membuktikan menteri itu menyalahgunakan kuasa.

“Beliau sebaliknya hanya mengambil kira dan mengguna pakai laporan yang dibuat pada zaman pemerintahan kerajaan terdahulu, yang pernah didakwa penuh gejala rasuah, iaitu sewaktu beliau merupakan anggota pembangkang,” katanya merujuk maklum balas polis dan bengkel khas mengenai peraturan cermin gelap pada Jun 2014.

“Beliau langsung tidak mengambil kira tanggungjawab menjaga keamanan negara yang dipikul oleh polis dan risiko keselamatan yang bakal dihadapi anggotanya ketika menjalankan tugas.”

Katanya, Loke perlu membuktikan keputusannya tidak dibuat demi kepentingan perkhidmatan teksi e-panggilan, Grab.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu mewajibkan semua kenderaan persendirian yang menawarkan khidmat e-panggilan bertukar kepada kod kegunaan kenderaan pengangkutan awam dan nombor pendaftaran berwarna merah atau hijau.

“…dan kenderaan mereka (Grab) tidak dibenarkan menggunakan cermin gelap seperti ketetapan yang dikenakan kepada kami (teksi).”