PRK Sandakan: 32% keluar mengundi sehingga 12 tengah hari

Proses pengundian yang berjalan sehingga 5 petang ini melibatkan 39,684 pemilih berdaftar dengan SPR menyasarkan 70% akan keluar mengundi. (Gambar Bernama)

SANDAKAN: Peratusan yang keluar mengundi bagi pilihan raya kecil (PRK) Sandakan sehingga 12 tengah hari tadi adalah 32% setelah kesemua 19 pusat mengundi dengan 90 saluran dibuka pada 7.30 pagi tadi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun dan Pesuruhjaya Polis Sabah Omar Mammah antara yang meninjau proses pengundian di beberapa pusat mengundi seperti Sekolah Menengah Yu Yuan dan Sekolah Kebangsaan Sri Tanjung Papat 1 dan 2.

Calon yang mengundi pagi tadi ialah calon DAP Vivian Wong Shir Yee, calon Bebas Chia Siew Yung dan Sulaiman Abdul Samat.

Proses pengundian berjalan sehingga 5 petang ini melibatkan 39,684 pemilih berdaftar. SPR menyasarkan 70% daripada jumlah itu akan keluar mengundi.

Sepanjang pagi tadi cuaca baik, namun Jabatan Meteorologi meramalkan ribut petir di beberapa tempat di Sandakan pada sebelah petang nanti.