Rohana Yusuf antara calon hakim besar Malaya yang baru

Hakim Mahkamah Persekutuan, Rohana Yusuf.

PETALING JAYA: Hakim Mahkamah Persekutuan Rohana Yusuf dikatakan merupakan antara calon untuk jawatan hakim besar Malaya apabila penyandangnya Zaharah Ibrahim bersara minggu depan.

Sumber berkata, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) juga mencadangkan hakim kanan Mahkamah Persekutuan, Azahar Mohamed untuk jawatan itu.

“JAC mencadangkan nama mereka apabila Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, meminta 2 nama untuk jawatan tersebut,” kata sumber kepada FMT.

Sumber juga berkata, JAC pada mulanya mengemukakan hanya 1 nama bagi mengisi kekosongan itu apabila Zaharah bersara pada 16 Mei ini.

Sekiranya dipilih, Rohana akan menjadi wanita ke-3 mengisi jawatan itu selepas Siti Norma Yaakob (2005-2007) dan Zaharah (Julai 2018-Mei 2019).

Rohana, 63, dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2005 dan hakim Mahkamah Tinggi Malaya pada 2011.

Beliau dilantik ke Mahkamah Rayuan pada 2013 dan Mahkamah Persekutuan tahun lepas.

Minggu lepas, JAC mencipta sejarah apabila hakim Mahkamah Persekutuan, Tengku Maimun Tuan Mat dilantik sebagai ketua hakim negara wanita yang pertama.

Tengku Maimun, 59 merupakan pegawai kehakiman ke-2 paling muda menjawat jawatan tersebut, selepas bekas ketua hakim, Suffian Mohamed Hashim dilantik ketika berusia 57 tahun.

Umur pesaraan wajib bagi hakim kini ialah 66 tahun ditambah lanjutan 6 bulan.

Tengku Maimun dan Azahar merupakan 2 nama untuk jawatan ketua hakim negara apabila perdana meneri meminta 2 nama.

Pada mulanya JAC dikatakan mengemukakan hanya 1 nama.

Di bawah Perkara 112B perlembagaan, Agong melantik hakim, termasuk 4 pentadbir kehakiman tertinggi atas nasihat perdana menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-raja.

Azahar, 63 dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan pada 2014 dan berpengalaman luas di Pejabat Peguam Negara sebelum di lantik sebagai hakim.

Beliau dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2004 dan dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Tinggi 2 tahun kemudian sbelum dilantik ke Mahkamah Rayuan pada 2011.

Azahar juga merupakan bekas anggota JAC seramai 9 orang yang mencadangkan kenaikan pangkat hakim.