Warden asrama direman atas dakwaan liwat, cabul 5 pelajar tahfiz

Warden asrama sebuah pusat tahfiz di Simpang Empat, Kangar direman 7 hari sehingga 17 Mei ini bagi membantu siasatan.

KANGAR: Warden asrama yang dikatakan meliwat 2 pelajar dan mencabul 3 lagi pelajar sebuah pusat tahfiz di Simpang Empat di sini ditahan polis tengah malam tadi.

Ketua Polis Perlis, Noor Mushar Mohamad ketika dihubungi berkata suspek berumur 28 tahun yang berasal dari Bandar Baru Kulim, Kedah ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar, Perak di sebuah pusat tahfiz di sana kira-kira 12.10 tengah malam.

Katanya, suspek mengaku meliwat, mencabul dan melakukan gangguan seksual terhadap mangsa yang berusia 9 hingga 15 tahun itu.

Suspek direman 7 hari bermula hari ini hingga 17 Mei bagi membantu siasatan. Suspek tiba di perkarangan Mahkamah Kangar kira-kira 10.45 pagi tadi.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Norhayati Ibrahim di Mahkamah Majistret Kangar hari ini.

Seorang kakitangan pusat tahfiz, tempat suspek bekerja membuat laporan di Balai Polis Simpang Empat Khamis lalu.

Suspek melarikan diri ke Perak selepas tahu laporan polis dibuat terhadapnya.

Media melaporkan 2 pelajar pusat tahfiz mendakwa diliwat, manakala 3 lagi pelajar mendakwa dicabul warden asrama mereka sepanjang berada di pusat tahfiz berkenaan.

Perbuatan tidak bermoral suspek terbongkar selepas seorang daripada mangsa liwat yang berusia 15 tahun tampil membuat aduan pada 24 April lalu, mendakwa dia diliwat dan dipaksa melakukan amang seksual di bilik warden.

Mangsa turut mendakwa suspek mengugut akan memukulnya jika kejadian itu dilaporkan, namun mangsa yang tidak tahan diperlakukan demikian bertindak membuat aduan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 377C, 377E dan 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 kerana melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii tanpa kerelaan.