Anwar bekas banduan: Takiyuddin minta pihak tidak puas hati semak fakta kes mahkamah

Setiausaha agung PAS, Takiyuddin Hassan.

KUALA LUMPUR: Setiausaha agung PAS, Takiyuddin Hassan meminta pihak yang tidak berpuas hati dengan kenyataanya menggelar presiden PKR, Anwar Ibrahim sebagai bekas banduan supaya menyemak fakta kes mahkamah.

Sambil mempertahankan kenyataannya sebelum ini, Takiyuddin berkata apa yang disebut beliau jelas termaktub dalam undang-undang.

“(Kenyataan) saya berdasarkan fakta dan minta orang yang menyeru saya supaya saya minta maaf itu semak pada fakta dan undang-undang sebab kes ini diputuskan di mahkamah dan negara kita ada undang-undang yang jelas mengenai kedudukan orang yang disabitkan oleh mahkamah.

“Dia (pemimpin PH) kena ‘check’ lah. saya sudah ‘check’ dah, kalau tak saya tak sebutlah,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa sempena sambutan ulang tahun Umno ke-73 di PWTC malam tadi.

Takiyuddin yang juga ahli Parlimen Kota Bharu berkata, pihaknya cukup pasti kenyataaan yang dikeluarkan itu selaras dengan apa yang termaktub dalam fakta kes mahkamah.

“Ya, ya, saya sudah, amat pasti,” katanya

Takiyuddin dalam satu ceramah sempena kempen plihan raya kecil (PRK) Sandakan di Sabah pada Rabu mempersoalkan sama ada Anwar sesuai menjadi perdana menteri kerana menurutnya status banduan adalah status “seumur hidup” biarpun setelah seseorang itu keluar dari penjara.

Takiyuddin turut menambah bahawa kesalahan liwat yang dijatuhkan ke atas pemimpin PKR itu juga tidak boleh dipersoalkan lagi kerana keputusannya dibuat oleh Mahkamah Persekutuan.

“Ada seorang cita-cita nak jadi perdana menteri sangat. Keluar dari penjara tak tahu macam mana dia dapat pengampunan daripada (Yang di-Pertuan) Agong bertanding dalam PRK di Port Dickson. Paksa ahli Parlimen yang menang pada ilihan raya umum ke-14 letak jawatan. Dia bertanding, dia mahu jadi perdana menteri.

“Jadi mahu kita menjadikan seorang ini sebagai perdana menteri kita?” soalnya, dengan hadirin menjawab “Tidak.”

Berikutan kenyataan Takiyuddin, Pemuda PKR menggesa pemimpin kanan PAS itu menarik balik dakwaan itu dan memohon maaf secara terbuka kerana menggelar Anwar seorang banduan.

Ketuanya, Akmal Mohd Nasir berkata, kenyataan Takiyuddin itu secara tidak langsung memperlekeh pengampunan diraja yang diberikan kepada presiden PKR tersebut.

“Kenyataan Takiyuddin ternyata berniat jahat dengan sengaja untuk menimbulkan penghinaan terhadap Anwar dan secara tak langsung memperlekeh perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mengurniakan pengampunan penuh kepada beliau,” katanya.

Akmal turut menyifatkan kenyataan Takiyuddin sebagai “berniat jahat, biadab dan melampaui batas.

Kritikan sama dibuat Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang dilaporkan berkata bahawa pengampunan penuh yang diberikan kepada Anwar sudah membersihkan rekod jenayah pemimpin PKR itu.

Lim juga menyifatkan kenyataan Takiyuddin sebagai “melawan” keputusan pengampunan Agong ketika itu, iaitu Sultan Muhammad V.

Sementara itu Anwar tidak mahu melayan kenyataan Takiyuddin yang mendakwa beliau tidak layak menjadi perdana menteri kerana pernah dipenjarakan.

Presiden PKR itu berkata, sama ada kenyataan Takiyuddin itu satu bentuk penghinaan terhadap Agong kerana memberi pengampunan penuh kepadanya tahun lalu, perlu dirujuk kepada peguam.