Berunding dengan kami sebelum perkenal levi pelepasan, kata persatuan pelancongan

Cadangan pengenaan levi pelepasan ke atas pelancong udara bertujuan menggalakkan pelancongan domestik.

PETALING JAYA: Persatuan Pelancongan Inbound Malaysia (Mita) mahu kerajaan berunding dengan pemain industri pelancongan terlebih dahulu bagi mendapatkan maklum balas sebelum menguatkuasakan cadangan levi pelepasan.

Presiden Mita, Uzaidi Udanis berkata, operator pelancongan tidak dimaklumkan tentangnya dan tidak tahu bagaimana mekanisme itu akan berjalan selepas pelaksanaannya.

“Lebih baik jika kerajaan berunding dengan kami terlebih dulu. Kami perlu tahu. Jangan umumkan pada saat akhir. Maklumkan kepada operator, agensi pelancongan dan syarikat penerbangan dulu bagi membolehkan kami membuat perancangan dan melaksanakannya secara sistematik. Jika kami lewat dimaklumkan, rancangan itu akan makan diri,” katanya kepada FMT.

Uzaidi berkata, tidak ada maklumat tentang bagaimana levi itu akan dilaksanakan.

Pada Khamis, Timbalan Menteri Kewangan, Amiruddin Hamzah memberitahu Dewan Rakyat bahawa levi pelepasan akan berkuat kuasa pada Julai atau selepas itu.

Uzaidi Udanis.

Levi berkenaan hanya akan dikenakan ke atas pelancong yang menaiki pesawat udara, katanya ketika membentangkan Rang Undang-undang Levi Pelepasan 2019 untuk bacaan kali ke-2 di Dewan Negara.

Levi yang dicadangkan ialah RM20 ke atas mana-mana orang yang menaiki pesawat udara ke negara Asean dan RM40 jika ke negara lain. Fi ini adalah tambahan ke atas bayaran perkhidmatan penumpang sebanyak RM73 yang dikenakan oleh lapangan terbang.

Uzaidi berkata, “kerajaan tidak harus sekadar membuat pengumuman begitu, sebaliknya jelaskan kepada kami terlebih dahulu. Apakah kami harus memasukkan cukai ini sewaktu membeli tiket penerbangan atau ia perlu dibayar secara tunai? Apakah kami perlu membuat bayaran tambahan di kaunter?”

Beliau mengalu-alukan levi tersebut, yang menurutnya “agak murah” berbanding negara lain. “Ia baik untuk pelancongan domestik dan inbound. Kita boleh menggalakkan rakyat Malaysia melancong di dalam negara.”

Uzaidi berharap levi itu akan digunakan bagi memperbaiki infrastruktur untuk pelancong.

“Kami kurang pasti bagaimana ia (levi) akan digunakan dan sama ada ia boleh digunakan bagi meningkatkan produk pelancongan kita kerana kos penyelenggaraannya agak tinggi.”

Katanya, itu adalah antara perkara yang perlu dijelaskan oleh kerajaan kepada pemain industri.