Kami sedang perhati perjanjian tanah di Johor dan Melaka, kata Kadir

Kadir Jasin mendakwa pengurniaan dan penjualan tanah di bawah harga pasaran berleluasa pada zaman pemerintahan Najib Razak. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, A Kadir Jasin hari ini memberi amaran kepada kerajaan Johor dan Melaka mengenai tindakan memindahkan tanah yang menjadi perhatian umum sekarang.

Beliau turut menasihatkan Menteri Besar Johor yang baru, Sahruddin Jamal memastikan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan tidak mengulangi amalan lama Barisan Nasional memberi tanah kepada kerabat diraja.

Katanya, perjanjian tanah mencurigakan di bawah pentadbiran BN tidak mengejutkan, tetapi yang membimbangkan ialah dakwaan perjanjian sama dilakukan di bawah kerajaan baru.

“Saya harap dakwaan ini akan disiasat dan disahkan oleh Menteri Besar baru, Sahruddin Jamal, sebab dia tentulah tidak mahu mengulangi kesilapan lampau dan menderita nasib yang serupa dengan pendahulunya,” tulisnya di blognya hari ini merujuk Osman Sapian yang digantikan bulan lalu, selepas hanya 11 bulan memegang jawatan itu.

Perjanjian tanah di Johor menjadi perhatian baru-baru ini. Sebidang tanah kerajaan bagi projek Sistem Transit Rapid (RTS) didakwa diserahkan kepada Sultan Johor.

Bagaimanapun, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilaporkan tidak sedar mengenai pertukaran hak milik tanah itu dan bersedia memulangkan tanah itu, jika projek RTS diteruskan.

Persoalan turut timbul mengenai sebuah hotel dan resort golf yang dikatakan menceroboh tanah rizab bagi hidupan liar.

Kadir bagaimanapun berkata, Sahruddin perlu diberikan masa kerana baru dilantik ke jawatan menteri besar, tetapi semua pihak akan memerhati tindak-tanduknya.

Katanya, kerajaan Melaka pimpinan PH dan Ketua Menterinya, Adly Zahari turut dimaklumkan sentimen Putrajaya berhubung permohonan semakan kehakiman difailkan Sime Darby Plantation Berhad bagi membatalkan pengambilalihan wajib tanah seluas 75 hektar di Jasin.

Sime Darby Plantation mendakwa sebuah syarikat asing cuba mengambil tanah itu menggunakan kaitannya dengan kerabat diraja.

Kadir juga mendakwa ada seorang kerabat diraja dibenarkan membeli 2.4 hektar tanah kerajaan pada harga jauh lebih rendah daripada pasaran – sebidang tanah seluas 1.4 hektar bernilai RM30 juta yang dijual tidak lebih RM6 juta dan sebidang lagi tanah 1 hektar bernilai RM45 juta yang dijual hanya RM4.5 juta.

Memetik peribahasa “(Seperti) Belanda minta tanah”, Kadir memberi contoh syarikat India Timur Belanda mengambil lebih daripada apa yang diberikan dan amalan itu turut berlaku pada zaman ini.

“Pengurniaan dan penjualan tanah dengan harga di bawah nilai pasaran ini berlaku secara berleluasa pada zaman pemerintahan Najib (Razak), termasuk tanah milik tentera.

“Ini adalah antara legasi buruk yang ditinggalkan oleh Najib.

“Sebagai sebahagian daripada usaha menyelamatkan harta negara, maka kerajaan PH yang berusaha mereformasi institusi dan mencegah rasuah, wajib bertindak ke atas legasi buruk Najib ini.”